Anda di sini

Mandi-manda bertukar tragedi, remaja lelaki maut akibat lemas

Advertisement
 Pasukan bomba membawa mayat mangsa yang ditemukan meninggal dunia akibat lemas di sungai Kampung Panagatan Keningau.
LEMAS: Pasukan bomba membawa mayat mangsa yang ditemukan meninggal dunia akibat lemas di sungai Kampung Panagatan Keningau. Gambar ihsan PGO JBPM Negeri Sabah

KENINGAU: Kegembiraan sekumpulan remaja dan kanak-kanak lelaki bermandi-manda di sungai Kampung Panagatan di sini bertukar tragedi selepas seorang mangsa ditemukan meninggal dunia akibat lemas.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah berkata, mangsa yang meninggal dunia berumur 13 tahun.

Katanya, Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.50 petang semalam.

Menurutnya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau  menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian.

"Mangsa ditemukan oleh orang awam pada jam 9.50 malam kira-kira 520 meter dari lokasi mangsa dilaporkan kali terakhir dilihat. 

"Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan mangsa meninggal dunia dan dibawa untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Dalam pada itu jelasnya, kesemua yang mandi di sungai itu berumur dalam lingkungan 8 hingga 74 tahun.

Semasa kejadian, seorang lagi mangsa berumur 10 tahun turut lemas namun berjaya diselamatkan oleh datuknya iaitu warga emas yang mandi bersama mereka.

Operasi SAR tamat sepenuhnya pada jam 10 malam.
 

  • oleh
  • Advertisement