Anda di sini

Lelaki masuk ICU bantu selamatkan adik OKU

Advertisement
 Rumah mangsa yang terbabit dalam kebakaran di Kampung Pilajau Beaufort.
TERBAKAR: Rumah mangsa yang terbabit dalam kebakaran di Kampung Pilajau Beaufort.

BEAUFORT: Tindakan seorang lelaki menyelamatkan adik perempuannya yang juga orang kelainan upaya (OKU) daripada rentung semasa kebakaran mengakibatkan mangsa dimasukkan ke  Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Beaufort kerana terhidu asap.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam tadi di Kampung Pilajau dekat sini, kedua-dua mangsa selamat namun rumah mereka terjejas akibat kebakaran.

Dipercayai, semasa kejadian, mangsa yang berumur 47 tahun bersama adiknya yang berumur 39 tahun hanya berdua di dalam rumah manakala, tiga lagi ahli keluarganya berada di tempat lain.

Lelaki berkenaan bukan hanya menyelamatkan adiknya, malah turut membantu  beberapa rumah jiran dari terbakar dengan memadam api yang marak dari merebak ke rumah bersebelahan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort Penolong Penguasa Bomba Mohamad Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 8.02 malam.

Menurutnya, seramai 12 pegawai dan anggota bersama dua jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik pasukan operasi tiba di lokasi didapati terdapat sebuah rumah jenis kekal terbakar 90 peratus.

"Operasi pemadaman dijalankan dengan membentang satu aliran hos bagi mengawal kebakaran dan seorang mangsa lelaki yang cuba memadam kebakaran mengalami sesak nafas," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Beaufort menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut.

Katanya, anggota bomba sukar untuk masuk ke dalam rumah bagi kerja-kerja pemadaman kerana masih ada bekalan elektrik sebelum menghubungi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk bantuan. 

"Operasi pemadaman turut dibantu BBP Kuala Penyu bagi bantuan sumber air disebabkan tiada sebarang pili bomba dan sumber air terbuka berhampiran lokasi kebakaran.

"Operasi terkawal pada jam 8.55 malam dan tamat sepenuhnya sejam kemudian. Mangsa yang sesak nafas kini dirawat di ICU Hospital Beaufort.

"Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement