Anda di sini

Tekong bot nelayan Indonesia didenda RM1 juta

Advertisement
Pegawai maritim mengiringi kedua-dua warga Indonesia itu di Kompleks Mahkamah Kuching hari ini.
Pegawai maritim mengiringi kedua-dua warga Indonesia itu di Kompleks Mahkamah Kuching hari ini.

KUCHING: Tekong sebuah bot nelayan warga Indonesia didenda RM1 juta manakala seorang daripada krunya didenda RM100,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mereka mengaku bersalah menceroboh perairan Malaysia.

Hakim Hakim Saiful Bahari Adzmi turut menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan masing-masing terhadap kapten Mulyadi@Bujang, 33, dan anak kapal, Ahmed Sarifulah, 42, jika ingkar denda.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 (Akta 317) yang dibacakan bersama Subseksyen 24 akta sama dan dihukum di bawah Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985.

Mengikut pertuduhan, Mulyadi dan Ahmed gagal memaklumkan pegawai yang diberi kuasa melalui radio, teleks atau faksimili dalam bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia untuk mempenalkan diri mereka, lokasi serta destinasi dan jumlah ikan yang dibawa oleh bot mereka semasa memasuki perairan perikanan Malaysia.

Mereka melakukan kesalahan itu dalam bot 74.6 batu nautika dari Tanjung Sirik, Sarawak pada 10.55 malam pada 8 Februari 2024.

Berdasarkan keterangan kes, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia telah menahan bot berkenaan dan menahan tekong serta anak kapal.

Pelbagai barangan seperti unit GPS, panel solar, bakul, kira-kira 20kg ikan, termasuk kapal, dirampas.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Azham Marwan manakala Mulyadi dan Ahmed tidak diwakili peguam bela.

Advertisement