Anda di sini

Lelaki miliki pistol tanpa lesen kena enam tahun, enam sebatan

Advertisement
Polis mengiringi Chia di Kompleks Mahkamah Kuching hari ini.
Polis mengiringi Chia di Kompleks Mahkamah Kuching hari ini.

KUCHING: Seorang lelaki berusia 32 tahun dari Siburan dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memiliki pistol secara tidak sah.

Chia Lee Sheng mengaku bersalah di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman yang memerintahkan hukuman penjaranya berkuat kuasa mulai tarikh dia ditangkap iaitu 13 April 2023.

Chia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti yang lebih tinggi) 1971 yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Dia melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta di hadapan sebuah hotel di King Center di sini sekitar jam 11.30 malam pada 12 April 2023.

Berdasarkan fakta kes, Chia berada di dalam kereta apabila sepasukan anggota polis mengarahkannya keluar dari kereta untuk pemeriksaan.

Pemeriksaan itu menemui pakaian seragam polis dengan butang lambang polis di belakang kereta dan sepucuk pistol dan enam butir peluru disembunyikan di pinggang seluar Chia.

Barangan kes itu kemudiannya dirampas dan Chia ditahan untuk tindakan lanjut.

Siasatan mendapati Chia secara tidak sah memiliki pistol MP-654 CAL.4.5mm tanpa lesen yang sah.

Pendakwaan kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Iezzah Iburdanisha Ibrahim manakala Chia tidak diwakili peguam.

Advertisement