Anda di sini

Pembantu kedai keranda sebabkan cedera parah lelaki lain dipenjara lima tahun

Advertisement
 

KUCHING: Seorang pembantu kedai keranda di Miri dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki berusia 23 tahun.

Delly Dunggat Richard Juti, 20, yang berasal dari Betong, mengaku bersalah di hadapan Hakim Saiful Bahari Adzmi selepas didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Delly melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta di belakang sebuah kelab malam di Jalan Canna di sini kira-kira jam 2.30 pagi pada 28 Ogos 2023.

Berdasarkan fakta kes, seorang anggota polis menerima panggilan daripada pegawai perubatan di Hospital Umum Sarawak (HUS), yang melaporkan mangsa cedera di kepala selepas diserang beberapa lelaki tidak dikenali.

Delly akhirnya ditahan dan siasatan mendapati dia telah menyerang mangsa dengan menumbuk dan memukulnya dengan kayu di tempat letak kereta di belakang kelab malam itu.

Akibat serangan itu, mangsa mengalami pendarahan intrakranial dan patah tulang muka.

Difahamkan, Delly menyerang mangsa kerana mangsa telah menganggu teman wanita rakannya ketika berada di kelab malam itu.

Pendakwaan kes oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fauzan Zamri manakala Delly tidak diwakili peguam.

Advertisement