Anda di sini

Inter bawa kelebihan satu gol untuk aksi kedua Liga Juara-Juara bertemu Atletico

Advertisement
Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Liga Juara-Juara di antara Inter Milan dan Atletico Madrid di Stadium San Siro di Milan. — Gambar AFP
Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Liga Juara-Juara di antara Inter Milan dan Atletico Madrid di Stadium San Siro di Milan. — Gambar AFP

MILAN: Marko Arnautovic memberikan Inter Milan kelebihan tipis dalam aksi pusingan kedua Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid selepas menjaringkan gol tunggal ketika kemenangan 1-0 pada Selasa.

Arnautovic menggantikan Marcus Thuram pada masa rehat dan menjaringkan gol kemenangan Inter ketika berbaki 11 minit perlawanan di San Siro selepas penjaga gol Atletico, Jan Oblak gagal menangkap kemas rembatan Lautaro Martinez.

Pemain berusia 34 tahun itu mengubah ejekan menjadi sorakan selepas golnya, yang hadir selepas beberapa kali gagal menyempurna peluang menyebabkan penyokong Inter tertanya-tanya sama ada Inter akan meraih kemenangan.

Dia sebelum itu gagal menyempurna peluang keemasan apabila merembat tinggi bola.

“Ia sememangnya salah satu gol paling penting dalam karier saya,” kata Arnautovic.

“Dalam beberapa minggu, saya gagal menyempurnakan banyak peluang. Tetapi penyokong dan pemain menunjukkan bahawa mereka memberikan sokongan kepada saya. Ia memberikan saya tenaga yang saya perlukan untuk menjaringkan gol.”

Arnautovic mengharungi tempoh sukar sejak kembali ke Inter dari kontrak pinjaman di Bologna pada musim panas lepas dan kegagalannya menyempurnakan peluang mengecewakan penyokong.

Bagaimanapun, kerana golnya, skuad kendalian Simone Inzaghi yang kini berkelebihan sembilan mata di singgahsana Serie A Itali, membawa kelebihan tipis ke Madrid untuk perlawanan kedua pada 13 Mac depan.

Atletico memiliki lebih banyak kekuatan di jentera serangan musim ini tetapi mereka bermain lebih secara bertahan seperti kebiasaan gaya permainan jurulatih Diego Simeone di Sepanyol.

Mereka bagaimanapun gagal menghalang gol Inter dan sekarang harus bangkit dari kekalahan  ini dalam  usaha untuk melangkah ke peringkat suku akhir kejohanan.

“Kami harus mengekalkan keyakinan, masih ada satu lagi perlawanan dan kami akan melakukan apa yang kami mampu untuk meneruskan kemaraan,” kata Oblak.

“Mereka mempunyai dua atau tiga peluang apabila kami hilang fokus dan dalam perlawanan seperti ini, anda harus bermain dengan baik sepanjang masa.”

Permainan hambar dalam separuh masa pertama dari kedua-dua pasukan kelihatan mengecewakan penyokong masing-masing, dengan hanya beberapa cubaan sehingga minit ke-36 apabila Martinez melihat tandukan kencangnya dari  umpanan Nicolo Barella berjaya diselamatkan oleh Oblak.

Dan tidak lama selepas itu, Martinez sekali lagi mengecewakan penyokong kelab apabila mensia-siakan satu peluang keemasan kerana mengambil masa agak lama sebelum melakukan penyudah, membolehkan Jose Maria Gimenez menghadang bola.

Thuram juga melihat rembatannya mudah diselamatkan oleh Oblak ketika Inter menamatkan separuh masa pertama dengan hambar.

Bagaimanapun, Thuram mengalami kecederaan di paha kanan dan diganti Arnautovic pada masa rehat.

Nasib Inter kelihatan tidak berubah dengan penyerangnya gagal menyempurnakan peluang sebelum Samuel Lino juga melihat cubaannya pada minit ke-56 tersasar untuk Atletico.

Penyokong kelihatan semakin kecewa dengan Arnautovic dan ejekan semakin kuat setiap kali dia gagal mencari peluang namun semua itu bertukar sorakan kegembiraan apabila menjaringkan gol kemenangan. – AFP

Advertisement