Anda di sini

Dortmund, PSV seri 1-1 pada pertemuan pertama

Advertisement
Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara di antara PSV dan Borussia Dortmund di Stadium The Phillips di Eindhoven. — Gambar AFP
Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara di antara PSV dan Borussia Dortmund di Stadium The Phillips di Eindhoven. — Gambar AFP

EINDHOVEN: Penyerang Donyell Malen menjaringkan gol penting untuk memastikan kelab Borussia Dortmund pulang dengan keputusan seri 1-1 di kelab lamanya, PSV Eindhoven dalam perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara pada Selasa.

PSV, pendahulu Eredivisie (Liga Belanda), harus menyalahkan diri mereka sendiri kerana gagal menyempurnakan beberapa peluang dalam separuh masa pertama dan sekarang harus bermain dengan lebih baik lagi dalam perlawanan kedua di Jerman bulan hadapan.

Persoalan besar sebelum perlawanan ialah pasukan mana yang akan diturunkan Borussia Dortmund – pasukan yang memenangi ‘Kumpulan Maut’ pusingan pertama Liga Juara-Juara atau pasukan bergelut dengan konsistensi dalam Bundesliga Jerman.

Dan ia adalah permainan hambar dalam suasana menakutkan di Eindhoven, di mana penyokong tuan rumah membakar bunga api sebelum sepak mula perlawanan.

Apabila asap dari bunga api itu hilang, pasukan tuan rumah mempunyai peluang lebih baik dengan cubaan pemain sayap, Hirving Lozano mencemaskan pertahanan Dortmund.

Pemain tengah PSV, Malik Tillman mensia-siakan dua peluang terbaik, pertama sekali rembatannya tersasar selepas menerima umpanan cantik dari Luuk de Jong.

Dortmund menghukum ketumpulan jentera serangan PSV apabila membuka jaringan pada minit ke-24 apabila Malen merembat masuk bola, dengan sedikit bantuan terkena pemain lawan.

Malen adalah seorang penyerang prolifik ketika beraksi bersama PSV, menjaringkan 55 gol dalam semua pertandingan dari hanya 43 perlawanan, dan dia memilih untuk tidak meraikan golnya di hadapan penyokong fanatik PSV.

Tillman sekali lagi gagal menyempurnakan peluang terbaik dengan tandukannya agak liar di hadapan pintu gol.

Johan Bakayoko juga gagal melakukan penyudah kemas menyebabkan penyokong tuan rumah semakin gelisah.

PSV belum pernah tewas di tempat sendiri sepanjang musim ini dan mereka memulakan separuh masa kedua dengan lebih yakin.

Mereka berjaya mengikat kedudukan tidak lama selepas itu apabila Tillman kelihatan menebus kegagalannya sebelum ini dengan memperolehi satu tendangan penalti minit ke-56, yang disempurnakan oleh De Jong.

Gol penyamaan membuka semula permainan, dengan kedua-dua pasukan memiliki peluang namun Dortmund berjaya bertahan sehingga ke akhir permainan.

Bagi PSV, ia keputusan mengecewakan selepas mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol dan mereka menjangkakan saingan yang lebih kuat di Jerman pada perlawanan kedua nanti. — AFP

Advertisement