Anda di sini

Tun Taib pengamal undang-undang yang hebat

Advertisement
LIM
LIM

KUCHING: Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud merupakan seorang pengamal undang-undang yang hebat, terutama selepas insiden Ming Court 1987.

Peguam dan pengamal undang-undang Lim Lian Kee berkata, insiden tersebut menjadikan Tun Taib sebagai salah seorang peguam terbaik dan terkemuka di bandar raya ini.

”Insiden Ming Court 1987 itu telah membuktikan dengan jelas perkara yang Tun Taib mampu tangani, umpamanya dari satu krisis ke krisis yang lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo hari ini.

Peristiwa Ming Court pada 1987 merupakan percubaan merampas kuasa politik daripada tangan Ketua Menteri Sarawak ketika itu (Tun Taib) dan dikatakan memberi kesan yang amat besar ke atas perjalanan politik negara.

VOON
VOON

Turut mengulas mengenai peristiwa tersebut adalah peguam dan Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) Voon Lee Shan. 

Voon menyatakan rampasan kuasa oleh musuh politik untuk menjatuhkan Tun Taib dan kerajaannya telah membantu beliau mengenal pasti musuh dan kawannya.

”Dengan mengenal pasti musuh, ia sangat membantu Tun Taib dalam mengukuhkan kuasa dengan bantuan mereka yang setia dan boleh dipercayai,” jelas Voon.

Tun Taib juga katanya, dilihat sebagai ahli taktik yang bijak dalam politik dan mampu menjinakkan musuh politiknya.

Dari segi pembangunan negeri, Voon menyatakan Tun Taib yang terdahulunya menyandang jawatan Ketua Menteri berupaya melaksanakan projek besar melalui dasar Politik Pembangunan beliau.

”Ini juga membentuk asas untuk perubahan, peluang, mobiliti dan kesaksamaan untuk semua rakyat Sarawak,” katanya. 

FONG
FONG

Dalam perkembangan berkaitan, Penasihat Undang-Undang Sarawak Dato Sri JC Fong berkata Allahyarham Tun Taib akan dikenang sebagai bapa pemodenan Sarawak yang memulakan transformasi dalam pelbagai sektor di negeri ini, dengan cetusan idea Politik Pembangunan beliau. 

Beliau berkata, Tun Taib turut memainkan peranan penting dalam mempersiapkan seseorang untuk menjadi pemimpin pengganti, termasuk Premier Sarawak. 

“Kesemua usaha ini adalah bagi meneruskan perjalanan transformasi Sarawak dan memelihara keharmonian kaum dan agama,” katanya.

Beliau turut meluahkan rasa sedih akan pemergian Allahyarham.

“Secara peribadinya, saya telah kehilangan seorang pemimpin yang hebat dan kawan sejati. Tun Taib menawarkan saya peluang untuk berkhidmat dalam perkhidmatan awam. 

“Ia merupakan satu penghormatan dan keistimewaan untuk berkhidmat dengan beliau dan kerajaan negeri. Beliau akan sangat dirindui oleh rakyat Sarawak,” ujar beliau.

HANI
HANI

Senada dengan Fong adalah peguam Hani Iryani yang menyifatkan legasi Allahyarham Tun Taib dalam membentuk landskap ekonomi Sarawak sebagai kekal dan memberikan inspirasi.

Hani berkata, kepimpinan Tun Taib dalam bidang ekonomi adalah sesuatu yang disifatkan sebagai luar biasa susulan beliau mahir mengemudi ekonomi Sarawak dengan cara melindunginya daripada kemasukan pengaruh luar.

“Keupayaannya untuk mengawal ekonomi (Sarawak) dan melindunginya daripada campur tangan luar adalah sesuatu yang menakjubkan serta menarik.

“Menerusinya juga, Allahyarham membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan dan kemakmuran negeri,” katanya.

Tambah Hani, visi dan strategi Tun Taib dalam bidang ekonomi menjadikan Sarawak benar-benar unik, mengukir identiti tersendiri dan membezakannya daripada wilayah lain.

SHANKAR
SHANKAR

Dalam pada itu, Peguam Shankar Ram menyifatkan Tun Taib sebagai seorang pemimpin yang hebat dan pemergiannya merupakan satu kehilangan besar bagi Sarawak. 

”Selama bertahun-tahun, kita melihat Sarawak makmur di luar jangkaan. Saya harus mengatakan bahawa Tun Taib telah memberikan sumbangan besar kepada keamanan, keharmonian dan kemakmuran Sarawak. Kita akan merindui Tun Taib,” katanya.

Tun Taib, 87, meninggal dunia jam 4.40 pagi semalam selepas menerima rawatan selama kira-kira seminggu di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

  • oleh
  • Advertisement