Anda di sini

Onana selamatkan Everton, bantu merantai Palace 1-1

Advertisement

Beberapa jam selepas Eagles melantik Glasner sebagai pengurus baharu, sekali gus mengeluarkan dari zon penyingkiran

Onana (kanan) meraikan gol kemenangan bersama rakan sepasukan Dwight McNeil pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Everton dan Crystal Palace di Goodison Park di Liverpool, England, kelmarin. — Gambar AFP
Onana (kanan) meraikan gol kemenangan bersama rakan sepasukan Dwight McNeil pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Everton dan Crystal Palace di Goodison Park di Liverpool, England, kelmarin. — Gambar AFP


LIVERPOOL: Pemain tengah Everton, Amadou Onana menyelamatkan keputusan seri 1-1 menentang rakan seperjuangan zon penyingkiran, Crystal Palace dengan gol penyamaan lewat hanya beberapa jam selepas Eagles melantik Oliver Glasner sebagai pengurus baharu mereka kelmarin.

Skuad kendalian Sean Dyche berada dalam bahaya dan bergelut dalam perjuangan untuk bertahan dalam Liga Perdana selepas Jordan Ayew meledakkan gol pendahuluan untuk Palace dengan penyudah yang cantik pada separuh masa kedua di Goodison Park.

Tetapi Onana menyamakan kedudukan ketika permainan berbaki enam minit untuk mengeluarkan Everton daripada zon penyingkiran, duduk di atas Luton menerusi perbezaan gol.

Jika Palace bertahan, mereka akan mendahului dengan lapan mata daripada tiga pasukan tercorot, dengan jurang lima mata kepada Luton.

Ia merupakan tamparan kepada bekas jurulatih Eintracht Frankfurt, Glasner, yang dilantik oleh Palace selepas Roy Hodgson berundur pada hari yang dramatik untuk kelab London selatan itu.

Pembantu Hodgson, Paddy McCarthy dan Ray Lewington mengurus pasukan semasa menentang Everton, tetapi Glasner duduk bersama pengerusi Palace, Steve Parish dan pengarah sukan Dougie Freedman di bangku Goodison.

“Ia gol cantik oleh Jordan Ayew, tetapi kami tidak dapat bertahan. Kami ada banyak kualiti dan Glasner akan masuk ke dalam skuad dengan banyak watak,” kata McCarthy.

“Saya pasti pemain sedar dia sedang menonton. Terdapat banyak perkara positif yang dia akan lihat dan saya pasti dia tidak sabar untuk bekerja.”

Jurulatih Everton, Sean Dyche menambah: “Kami melepaskan gol lemah, dari sudut pandangan kami, tetapi ada banyak perkara baik pada separuh masa kedua itu.

“Mentaliti kami telah menjadi kunci kejayaan dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan ia akan diteruskan.”

Glasner telah bersetuju dengan kontrak sehingga Jun 2026 dan akan bertanggungjawab apabila Palace menerima kunjungan pasukan kedua tercorot, Burnley pada hari Sabtu dalam satu lagi pertembungan penting.

Dia berdepan tugas sukar untuk memulihkan pasukan yang mencatatkan hanya tiga kemenangan dalam 20 perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan semasa kejatuhan ke zon penyingkiran.

Pemergian bekas pengurus England dan Liverpool, Hodgson, amat dihormati selaku peminat zaman kanak-kanak Palace yang sudah berkhidmat dengan baik dalam dua musim di sana.

Penyokong Palace yang membuat lawatan ke Goodison telah berdamai dengan Hodgson sambil mereka mengangkat papan tanda bertulis ‘Terima kasih Roy’.

Kini, ia terpulang kepada Glasner untuk memastikan legasi kelangsungan hidup dalam divisyen teratas oleh Hodgson tidak sia-sia.

Pengurus dari Austria berusia 49 tahun itu mengetuai Eintracht untuk menjuarai Liga Europa pada 2022 dan mara ke pusingan 16 akhir Liga Juara-Juara pada tahun berikutnya sebelum berlepas pada penghujung musim lalu.

Pandangan pertama Glasner tentang pasukan baharunya ialah kumpulan itu kuat berusaha tetapi kekurangan inspirasi.

Diganggu oleh masalah kecergasan, musim menyedihkan Dominic Calvert-Lewin tidak menunjukkan peningkatan apabila tandukan penyerang Everton itu tersasar dari hantaran lintang Dwight McNeil.

Palace hampir menjaringkan gol sebelum separuh masa apabila tandukan Jean-Philippe Mateta ditepis oleh Ashley Young.

Tyrick Mitchell sepatutnya memecah kebuntuan hasil hantaran Mateta, tetapi pemain pertahanan Palace itu mengambil masa terlalu lama untuk merembat, membolehkan Jordan Pickford menyekat percubaannya.

Palace mendahului pada minit ke-66 apabila Mateta menahan Jarrad Branthwaite dan menghantar bola kembali kepada Ayew, yang melakukan rembatan hebat ke sudut jauh dari sebelah kanan kotak penalti.

Panik sama memuncak dalam kalangan pemain dan peminat Everton, mereka menyambar gol penyamaan yang beharga pada minit ke-84 apabila Onana meloncat paling tinggi untuk menjaringkan sepakan sudut McNeil dengan tandukan kuat dari jarak 10 meter. — AFP 

Advertisement