Anda di sini

Newcastle sahkan Ashworth diberi cuti, Man Utd rancakkan usaha bawa beliau ke Old Trafford

Advertisement
ASHWORTH
ASHWORTH


LONDON: Newcastle kelmarin mengesahkan bahawa pengarah sukan Dan Ashworth telah diberi cuti manakala Manchester United bersedia untuk merancakkan usaha mereka untuk membawanya ke Old Trafford.

Lelaki berusia 52 tahun itu telah meninggalkan tugasnya di St James’ Park, setelah memberitahu pengurusan kelab bahawa dia mahu menerima tawaran daripada United.

United sedang merombak struktur mereka selepas Jim Ratcliffe memperolehi 25 peratus kepentingan dalam kelab itu dan mengawal operasi bola sepak.

Pengerusi syarikat gergasi bahan kimia INEOS itu telah bergerak pantas untuk mengukuhkan kumpulan kepimpinan bola sepak United, memberi tumpuan dalam bidang tertentu.

Laporan berkata Ashworth, bekas pengarah teknikal Persatuan Bola Sepak (FA), mempunyai hubungan dengan ketua sukan INEOS, Dave Brailsford.

“Kami sememangnya kecewa kerana Dan telah memilih untuk pergi,” kata ketua eksekutif Newcastle, Darren Eales. “Bagaimanapun, perjalanan indah kami tidak berhenti dan proses untuk merekrut pengarah sukan baharu akan dimulakan serta-merta.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Dan atas usahanya di Newcastle United dan kami mendoakan kesejahteraannya dan keluarganya untuk masa depan.”

Laporan menunjukkan tiada hubungan rasmi antara dua kelab Liga Perdana itu tetapi kedua-duanya mahu perkara itu diselesaikan dengan cepat.

Pengurus Newcastle, Eddie Howe minggu lepas mengakui bahawa dia bimbang akan pengetahuan dalam kelab Ashworth ketika timbul spekulasi mengenai pertukaran itu.

Ditanya sama ada Ashworth tahu akan butiran sasaran pemain perolehan Newcastle, dia berkata: “Ya, dan itulah sebabnya saya katakan dia berada dalam kedudukan yang berkuasa, dengan banyak pengetahuan dan maklumat.”

Manchester United perlu membayar pampasan yang besar jika mereka mahu mendapatkan Ashworth dalam jawatan tepat pada masanya menjelang  jendela perpindahan penting, yang dibuka pada bulan Jun.

Ashworth telah dimasukkan oleh pemilik Newcastle yang disokong Saudi pada 2022 selepas mereka membayar pampasan yang besar kepada Brighton untuk mendapatkan perkhidmatannya.

Dia menerajui pasukan Magpies untuk melonjak ke kedudukan empat teratas Liga Perdana dan kembali ke Liga Juara-Juara selepas tidak menyertainya selama dua dekad. — AFP 

Advertisement