Anda di sini

Jenazah Allahyarham Tun Taib selamat tiba di Kuching

Advertisement
Keranda yang membawa jenazah Taib diusung dari pesawat C-130 Hercules milik oleh anggota serta pegawai TUDM ke kenderaan khas untuk dibawa ke kediamannya di Demak Jaya. - Gambar Faisal Ahmad
Keranda yang membawa jenazah Taib diusung dari pesawat C-130 Hercules milik oleh anggota serta pegawai TUDM ke kenderaan khas untuk dibawa ke kediamannya di Demak Jaya. - Gambar Faisal Ahmad

KUCHING: Jenazah bekas Yang di-Pertuan Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada jam 4.25 petang tadi.

Jenazah Tun Taib yang diiringi isterinya Toh Puan Ragad Kurdi Taib telah diterbangkan dari Pangkalan Udara Subang menaiki pesawat C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Turut mengiringi Allahyarham ialah keempat-empat anaknya Jamilah Hamidah, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir, Datuk Seri Abdul Rahman Sulaiman dan Datuk Hanifah Hajar Taib. 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta ketiga-tiga Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, merupakan antara yang hadir untuk menyambut ketibaan jenazah Allahyarham.

Abang Johari (dua kanan), Awang Tengah (dua kanan) dan Ragad (tiga kanan) yang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching melihat keranda yang membawa Taib diusung ke kenderaan khas. - Gambar Chimon Upon
Abang Johari (dua kanan), Awang Tengah (dua kanan) dan Ragad (tiga kanan) yang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching melihat keranda yang membawa Taib diusung ke kenderaan khas. - Gambar Chimon Upon

Selain itu, kira-kira 300 orang termasuk menteri Kabinet negeri juga telah memenuhi Balai Ketibaan Tetamu Kehormat lapangan terbang itu sejak tengah hari tadi.

Ketibaan jenazah disambut dengan Kawalan Kehormat Utama Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja disusuli dengan bacaan doa dan diakhiri dengan lagu Ibu Pertiwiku selain 17 das tembakan meriam dilepaskan  sebelum diusung ke kenderaan khas yang membawanya ke kediaman rasmi Allahyarham di Demak Jaya, Jalan Bako di sini.

Esok jenazah Tun Taib akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN), bagi membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir bermula jam 8 pagi hingga 12 tengahari.

Seterusnya, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Demak untuk disolatkan sebelum dikebumikan dengan istiadat pengkebumian negeri di tanah perkuburan keluarga di Demak Jaya.

Tun Taib, 87, meninggal dunia pada 4.40 pagi tadi selepas menerima rawatan selama kira-kira seminggu di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Dilahirkan pada 21 Mei 1936, Tun Taib merupakan perancang utama yang mencorakkan pembangunan Sarawak apabila menerajui kepimpinan negeri sebagai Ketua Menteri selama 33 tahun sebelum ini.

Pada 1 Mac 2014 Abdul Taib dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak ketujuh sehingga 26 Januari 2024.
 

  • oleh
  • Advertisement