Anda di sini

Allahyarham Tun Taib ibarat satu institusi atas sumbangan luar biasa kepada Sarawak dan Malaysia: Abang Johari

Advertisement

KUCHING: Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud ibarat satu institusi atas sumbangan luar biasanya kepada pembanguan dan pemodenan Sarawak khasnya dan Malaysia amnya.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Tun Taib yang juga mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak telah memberi sumbangan luar biasa sekali, terutamanya ketika menjadi Menteri Perusahan Utama di peringkat persekutuan.

Beliau berkata, Tun Taib merupakan satu-satunya orang yang menjurus kepada penubuhan Petronas. 

Dari  sudut sosial pula katanya, umum tahu Tun Taib meminati filem-filem P.Ramlee kerana mempunyai falsafah, umpamanya filem 'Antara Dua Darjat.'

"Beliau selalu bercerita dengan saya mengenai  kesaksamaan. Kalau dilihat dari filem 'Antara Dua Darjat' ini, bermakna kita hendaklah memberi khidmat yang setaraf kepada manusia.

"Ternyata Tun Pehin Sri mempunyai pemikiran yang cukup mendalam sehingga beliau boleh menganalisis falsafah hidup dan saya sebenarnya dididik oleh Tun Pehin Sri sejak saya menceburi politik pada 1981," ujarnya pada sidang media di Bilik Menunggu VVIP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), hari ini.

Abang Johari (duduk tengah) pada sidang media di Bilik Menunggu VVIP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, hari ini. Turut kelihatan Uggah (duduk kiri), Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki (duduk kanan) serta yang lain. - Gambar Chimon Upon
Abang Johari (duduk tengah) pada sidang media di Bilik Menunggu VVIP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, hari ini. Turut kelihatan Uggah (duduk kiri), Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki (duduk kanan) serta yang lain. - Gambar Chimon Upon

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Dato Sri Fatimah Abdullah serta Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Abang Johari berkata, ketika Tun Taib menjadi Ketua Menteri, beliau bersama-sama Allahyarham menghadapi cabaran dan dapat menstabilkan politik negeri ini sehingga Sarawak mendapat kejayaan begitu besar.

Beliau berkata, Tun Taib sepanjang menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak pula sering mengingatkan agar keharmonian di negeri ini terus diberi penekanan dan sentiasa merendah diri ketika berkhidmat untuk rakyat.

"Saya masih ingat ketika saya dilantik menjadi Menteri Muda Pertanian, beliau (Tun Taib) meminta saya meningkatkan ekonomi petani dan nelayan... Maka, kita menganjurkan Hari Peladang dan Nelayan buat julung kali bermula Samarahan.

"Ini adalah satu pengajaran yang begitu baik daripada Tun Pehin Sri bukan sahja kepada saya, bahkan kepada rakan-rakan Kabinet lain termasuk Datuk Amar Douglas Uggah Embas di mana ketika beliau (Uggah) hendak menjadi calon tetapi Tun Pehin Sri kata tunggu dulu, dan Uggah akur," tambahnya.

Abang Johari berkata, sumbangan Tun Taib banyak mendidik beliau dan barisan pemimpin negeri yang masih muda ketika itu.

"Saya amat berterima kasih kepada Tun Pehin Sri kerana didikan yang telah diberikan kepada kami ketika masih muda dulu. Lebih penting, Tun Pehin Sri tidak lokek (kedekut) dengan pengalamannya, beliau sering berkongsi dengan kita.

"Semalam (Selasa) saya sempat menziarahi beliau dan melihat wajahnya, saya rasa begitu mendalam sekali," katanya dengan nada sebak.

Abang Johari kelihatan sebak pada sidang media ketika mengulas mengenai pemergian bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini. - Gambar BERNAMA
Abang Johari kelihatan sebak pada sidang media ketika mengulas mengenai pemergian bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini. - Gambar BERNAMA

Menurut Abang Johari lagi, Tun Taib ketika menjadi Ketua Menteri Sarawak, beliau telah mengubah dasar-dasar pembangunan khususnya dari sudut pembangunan tanah dengan penubuhan Lembaga Pembangunan Dan Lindungan Tanah (LCDA).

"Ramai orang tidak faham dengan penubuhan LCDA dan saya salah seorang yang faham kerana telah diberi pandangan, kita hendaklah mengusahakan khazanah kita untuk rakyat termasuk pekebun kecil.

"Dari sudut pembangunan bandar, Tun Pehin Sri telah melantik saya sebagai Menteri Industri Sarawak. Saya orang pertama (dilantik menjadi Menteri Industri) dan beliau telah memberi saya bimbingan, maka kita telah membangunkan Taman Perindustrian Sejingkat dan Samajaya," katanya.

Mendedah lanjut Abang Johari berkatam Samajaya yang membawa makna 'sama-sama berjaya' merupakan idea Tun Taib, begitu juga Samalaju di Bintulu yang membawa falsafah dan momentum bersama-sama.

"Maknanya, ada falsafah dalam setiap idea Tun Pehin Sri, sekarang keadaan sudah berubah, peredaran zaman, maka saya telah mempelajari daripada cara beliau dan di zaman saya, adalah zaman lebih moden dari sudut digital dan teknologi baharu.

"Sebab itulah saya melangkah ke era tersebut (ekonomi baharu dan teknologi digital)," katanya.

  • oleh
  • Advertisement