Anda di sini

Shairul berkolaborasi bersama jemaah

Advertisement
 Amin berswafoto bersama jemaah selepas menyampaikan ceramah perdana pada program Semarak Solat Subuh macam Jumaat di Masjid Azizurahman Kimanis.
KENANGAN: Amin berswafoto bersama jemaah selepas menyampaikan ceramah perdana pada program Semarak Solat Subuh macam Jumaat di Masjid Azizurahman Kimanis.

MEMBAKUT: Gelombang ‘Solat Subuh macam Jumaat’ yang dicetuskan oleh seleberti popular Alif Satar di Kuala Lumpur baru-baru ini, sampai ke Parlimen Kimanis.

Pegawai Khas kepada Timbalan Menteri Luar Negeri, Shairul Sukimin selaku Pengerusi Penganjur berkata, program ‘Semarak Subuh Macam Jumaat’ dimulakan di Masjid Azizurahman Kimanis dan berjaya menarik lebih 700 jemaah.

Katanya, kehadiran ramai jemaah terutama dari kalangan anak muda satu perkembangan positif yang amat baik.

“Pada awalnya saya menjangkakan tidak ramai yang datang, sebab ia program pertama kali tapi syukur alhamdulillah, masjid sesak dengan kehadiran jemaah seawal jam 3.00 pagi.

“Saya berterima kasih kepada pihak jawatankuasa masjid atas kerjasama yang diberikan dan paling mengharukan ialah sokongan dari jemaah yang hadir,” katanya ketika ditemui di Masjid Azizrurahman Kimanis.

Shairul yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kimanis berkata, pendakwah Pencetus Umah Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim atau lebih dikenali sebagai PU Amin dijemput menyampaikan ceramah perdana subuh bertajuk ‘Ramadhan yang dinanti’.

“Manakala, Ustaz Anuar Ali menyampaikan tazkirah dan memimpin Qiamullail. Selepas solat Subuh, jemaah dijamu dengan hidangan sarapan pagi.

“Yang paling mencuri tumpuan ialah apabila pihak penganjur menawarkan hadiah motosikal kepada jemaah bertuah,” katanya.

Pengisian lain ialah kolaborasi jemaah bersama pengerusi serta jawatankuasa Masjid Azizurrahman Kimanis.

Dalam pada itu, Shairul berkata, penganjuran program ini adalah atas idea dan cadangan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin sebagai usaha mengimarahkan masjid dan surau yang membawa manfaat kepada masyarakat setempat khususnya umat Islam.

“Solat Subuh macam Jumaat antara program yang tular di platform media sosial pada masa ini, yang baik untuk rakyat khususnya masyarakat Islam di Kimanis kita contohi dan laksanakan.

“Mudah-mudahan selepas ini banyak lagi program untuk mengimarahkan rumah Allah dengan pelbagai aktiviti lain yang mesra jemaah dilaksanakan pada masa akan datang,” katanya.
 

Advertisement