Anda di sini

Penyeludup buang minuman keras ke laut elak ditahan PPM

Advertisement
 Bot suspek bertindak melarikan diri bagi mengelak diperiksa PPM.
OPERASI: Bot suspek bertindak melarikan diri bagi mengelak diperiksa PPM.

LABUAN: Beberapa penyeludup terpaksa membuang minuman keras yang dipercayai tidak bercukai ke laut selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa di perairan Brunei Bay, di sini.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, kegiatan terbabit berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) semasa menjalankan rondaan pemantauan di sekitar perairan berkenaan kira-kira jam 8.45 malam.

Katanya, semasa rondaan dijalankan, pasukan operasi terserempak dengan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.

“Bot yang bergerak dari arah Labuan menuju ke perairan Sarawak kemudian cuba ditahan untuk pemeriksaan.

"Bot yang dinaiki beberapa lelaki itu bagaimanapun bertindak memecut laju menuju ke arah perairan Lawas dipercayai cuba mengelak daripada diperiksa.

"Pasukan operasi bertindak mengejar bot terbabit dan ketika kejadian, beberapa individu di atas bot berkenaan dilihat membuang sesuatu ke laut," katanya ketika dihubungi.

Ahmad berkata, bot pasukan operasi terpaksa mengelak objek yang dibuang ke laut sehingga gagal mengesan bot yang dinaiki suspek itu.

Katanya, pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati, objek yang dibuang adalah minuman keras.

"Sebanyak 648 minuman keras belum bercukai yang dipercayai cuba diseludup ke tanah besar Sarawak itu dirampas.

"Berdasarkan pasaran semasa dan cukai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), semua minuman keras berkenaan dianggarkan bernilai RM6,400," katanya.

Ahmad berkata, semua rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Labuan untuk tindakan selanjutnya sebelum dirujuk ke JKDM Kastam WP Labuan.

  • oleh
  • Advertisement