Anda di sini

Penjaja Tapak Pasar Malam Inanam disyaki guna pewarna terlarang: Junainah

Advertisement
 Pasukan operasi menjalankan pemeriksaan terhadap salah sebuah meja jualan di Pasar Malam Inanam.
PERIKSA: Pasukan operasi menjalankan pemeriksaan terhadap salah sebuah meja jualan di Pasar Malam Inanam.

KOTA KINABALU : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengesan seorang penjaja ikan dipercayai meletakkan pewarna terlarang terhadap jualannya di Tapak Pasar Inanam di sini.

Ketua Pengarah DBKK, Junainah Abbie berkata, sample ikan terbabit kemudian dibawa ke makmal oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengenal pasti keberkesanan pewarna berkenaan.

Katanya, laporan ujian terhadap sample yang diambil akan dimaklumkan oleh pihak KKM kepada Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya (JKPB) untuk tindakan lanjut.

“Operasi Bahagian Pengurusan Penjaja yang dijalankan bersama pihak KKM dan JKPB DBKK bermula jam 7 sehingga 9.30 malam di Tapak Pasar Malam Inanam mendapati seorang penjaja ikan dipercayai meletakkan pewarna terhadap ikan yang dijualnya.

“Kita masih menunggu laporan terperinci daripada makmal KKM yang kemungkinan besar akan diperoleh dalam tempoh terdekat.

“Sekiranya terbukti, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga ikan terbabit,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Beliau berkata, operasi disertai empat anggota membabitkan Bahagian Penjaja Jabatan Pelesenan DBKK diketuai Hassim Musa.

Katanya, turut serta ialah JKPB DBKK bersama enam anggota bagi mengesan peniaga yang gagal mematuhi arahan pihak berkuasa.

“KKM yang turut serta dalam operasi malam tadi dianggotai tujuh pegawai diketuai oleh Bibi Rozita bagi mengesan peniaga yang degil berdasarkan laporan daripada orang ramai.

“DBKK bersama KKM akan memperluaskan lagi operasi ini bagi memastikan peniaga ikan mematuhi arahan sekali gus bebas daripada menggunakan bahan pewarna yang terlarang bagi menjamin kesihatan pengguna,” katanya.

Advertisement