Anda di sini

35 individu berjudi ditahan dalam Op Limau

Advertisement
 Sebahagian daripada peralatan judi dan wang tunai yang dirampas dalam Op Limau.
RAMPAS: Sebahagian daripada peralatan judi dan wang tunai yang dirampas dalam Op Limau.

KOTA KINABALU: Polis menahan 35 individu dalam Op Limau yang dijalankan di negeri ini bermula 5 hingga 15 Februari lalu sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner, Azmi Abd Rahim berkata, kesemua yang ditahan ialah 23 lelaki dan 12 wanita berumur 20 hingga 75 tahun.

"Sepanjang tempoh operasi, pasukan serbuan melaksanakan 10 serbuan dan berjaya menahan seramai 35 individu beserta rampasan wang tunai RM54,911.

"Pasukan serbuan turut merampas pelbagai peralatan judi antaranya chip pelbagai nilai, daun terup, buah dadu, batu mahjong, buah do mino dan kain putih tertera simbol-simbol gambar," katanya ketika dihubungi.

Azmi berkata, operasi ini bertujuan untuk nengekang aktiviti perjudian yang dianjurkan oleh individu dan sindiket yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan khas sempena Tahun Baharu Cina.

"Perjudian yang lazimnya dikategorikan sebagai judi dalam dan luar bangunan ini merujuk kepada permainan judi tradisional dan judi yang diubah suai daripada tradisional kepada perkembangan semasa.

"Itu termasuklah do mino, kua merah, daun terup, mahjong, dan Cap Ji Kee. Lokasi serbuan membabitkan Kota Kinabalu, Kota Marudu, Kota Belud dan Semporna," katanya.

Beliau berkata, semua yang ditahan kini disiasat  mengikut Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1957.

Terdahulu, operasi dilaksanakan seramai 179 pegawai dan anggota dari JSJ Kontinjen Sabah.

  • oleh
  • Advertisement