Anda di sini

Suspek kes samun libatkan pekerja bank diberkas

Advertisement
 Rakaman CCTV di lokasi kejadian yang menunjukkan suspek memukul mangsa menggunakan sebatang kayu.
SAMUN: Rakaman CCTV di lokasi kejadian yang menunjukkan suspek memukul mangsa menggunakan sebatang kayu.

KOTA KINABALU: Polis berjaya memberkas seorang lelaki suspek kes samun membabitkan seorang wanita pekerja bank dalam kejadian pada Jumaat lepas di lorong belakang sebuah bank di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan Kalsom Idris berkata, suspek ditahan pada 18 Februari selepas satu laporan polis dibuat pada 17 Februari berkaitan kes samun terbabit.

Katanya, mangsa yang berumur 50 tahun bekerja di sebuah bank berdekatan diserang suspek menggunakan sebatang kayu kira-kira jam 6.30 pagi.

Menurutnya, mangsa cedera di kepala dan badan serta mengalami kerugian kira-kira RM5,000 termasuk telefon pintar dan wang tunai. 

"Polis Kota Kinabalu berjaya menangkap suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian ini dan akan disiasat di bawah Seksyen 392 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau berkata, rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) insiden itu turut ditularkan di media sosial termasuk menerusi aplikasi WhatsApp.

Dalam pada itu, pihaknya menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati pada setiap masa dan berwaspada dengan setiap pergerakan terutamanya pada waktu malam.

Menurutnya, situasi sedemikian dipercayai memberi kesempatan kepada penjenayah untuk mengambil peluang atas kelemahan mangsa.

"Elakkan ke tempat atau kawasan yang sunyi secara berseorangan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement