KUCHING: Greater Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak bercadang untuk memberi insentif kepada ahlinya yang aktif menyumbang kepada organisasi.
Pengerusi Institut Pembangunan Sarawak (SDI) Datuk Amar Jaul Samion berkata, perkara itu akan dilaksanakan tahun ini sebagai sebahagian daripada pelan transformasi organisasi tersebut.
"Kami memahami isu dan cabaran yang dihadapi oleh kedua-dua organisasi berkenaan dan ahlinya.
"Oleh itu kami mencadangkan untuk memberi insentif kepada ahli aktif yang mampu menyumbang serta yakin bahawa penyertaan aktif dan sokongan anda akan dihargai dan diberi ganjaran," katanya ketika berucap merasmikan Perjumpaan Tahun Baharu Cina Greater AZAM Sarawak 2024 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Jaul berkata, beliau percaya inisiatif itu turut membuka lebih banyak peluang kepada ahli baharu untuk menyertai organisasi terbait pada masa hadapan.
"Jadi, sempena dengan Tahun Naga ini, muhasabah dan hidupkan kembali ikatan kekeluargaan AZAM," tambah beliau.
Beliau berharap tahun ini dipenuhi dengan keyakinan yang baik, menangkis cabaran dan dipenuhi kebijaksanaan yang tidak berbelah bagi seluruh kumpulan AZAM.
"Semoga tahun ini juga menawarkan kepada kita aktiviti-aktiviti untuk mencapai banyak kejayaan dalam perjalanan transformasi kita," ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi AZAM Sarawak Datu William Patrick Nyigor berkata Greater AZAM bukan sekadar gabungan pelbagai organisasi, malah komuniti yang menghimpunkan pelbagai bakat dan kepakaran untuk mencapai matlamat bersama.
"Kekuatan komuniti ini terletak pada perpaduan dan kerjasama ahlinya.
"Dalam keluarga AZAM yang agak kecil, kami bertuah kerana mempunyai kakitangan Cina, Iban, Melayu, Bidayuh, Melanau dan Orang Ulu.
"Oleh yang demikian, kami amat berbangga dan berbesar hati kerana dapat meraikan bersama-sama perayaan kebudayaan utama, seperti perhimpunan Tahun Baru Cina ini," katanya.
Turut hadir ialah pengerusi penganjur dan Pengerusi Jawatankuasa Ahli Lembaga AZAM Charles Siaw.