Anda di sini

Pembinaan lombong klinker, simen bersepadu terbesar bakal dimula sebelum akhir tahun

Advertisement
 Imej kilang klinker dan simen yang akan dibangunkan di Kampung Kawayoi, Tongod.
KILANG: Imej kilang klinker dan simen yang akan dibangunkan di Kampung Kawayoi, Tongod.
MICHEAL
MICHEAL

KOTA KINABALU: Pembinaan lombong klinker dan simen bersepadu terbesar yang membabitkan pelaburan pembangunan sebanyak RM2 bilion di Sabah dijangka akan dimulakan sebelum akhir tahun ini.

Pengarah Urusan, Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd (BCS), Micheal Kinsuan berkata, pihaknya kini hanya menunggu proses akhir kajian Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Kami akan memulakan kerja pembinaan fasa pertama sebaik sahaja mendapat 'lampu hijau' daripada JAS.

"Pada masa kini kita sedang bekerjasama dengan semua jabatan terlibat sebagai prosedur akhir sebelum mendapat kelulusan JAS terbabit,” katanya semasa ditemui di pejabatnya di sini.

Beliau bagaimanapun berkata, pembinaan jalan raya berturap sejauh 26 kilometer akan dilaksanakan terlebih dahulu dari Kampung Matiku, Nabawan ke tapak kilang BCS.

Katanya, kemudahan bekalan elektrik untuk jarak 39 kilometer dan bekalan air membabitkan jarak tiga kilometer akan dibina serentak dengan menara telekomunikasi sejauh 60 kilometer yang turut dinikmati penduduk sekitar.

“Kerajaan negeri sudah mewartakan 700 ekar untuk tapak kilang dan kuari di Bukit Sinobang, Kampung Kawayoi yang terletak 130 kilometer dari Pekan Tongod.

“Kawasan seluas 500 ekar lagi diperuntukan untuk tapak kuari klinker, sementara 200 ekar untuk tapak kilang, pembungkusan, pejabat operasi dan kurtes pekerja.

“Kita juga memerlukan 1,000 tenaga kerja iaitu 20 peratus daripadanya adalah tenaga mahir, manakala selebihnya pekerja separuh mahir serta individu berkelayakan dalam bidang berkaitan,” katanya.

Micheal berkata, terdapat enam bahan utama yang diadun untuk dijadikan klinker sebelum diproses menjadi simen.

“Kesemua bahan mineral itu ditemukan di kawasan cadangan kuari antaranya batu kapur, arang batu, tanah liat, batu pasir dan syal untuk membuat klinker.

“Kita hanya mememerlukan satu bahan iaitu gipsum, yang perlu diimport dari luar negara, tetapi hanya lima peratus daripada campuran itu diperlukan untuk menghasilkan simen,” katanya.

Beliau berkata, operasi kilang ini akan dilengkapi dengan mesin automatik dan dikawal secara digital melalui komputer.

“Penghantar penggelek batu atau Stone Roller Conveyor pula akan digunakan sepanjang 3.0 kilometer dari kuari ke kilang pemprosesan simen.

“BCS juga turut membina klinik kesihatan di Kampung Kawayoi selain menaik taraf bangunan surau dan gereja di kawasan berdekatan,” katanya.

Cadangan projek itu dilaksanakan sebuah syarikat tempatan, Setia Alam Setia Sdn Bhd dengan kerjasama SEDCO melalui kontraktor turnkey yang berpangkalan di China.

  • oleh
  • Advertisement