Anda di sini

Enam sekeluarga terjun dari tingkap selamatkan diri semasa rumah terbakar

Advertisement
 Pasukan bomba semasa menjalankan operasi memadam kebakaran.
KEBAKARAN: Pasukan bomba semasa menjalankan operasi memadam kebakaran.

KOTA KINABALU: Enam sekeluarga termasuk kanak-kanak berumur lapan tahun terpaksa terjun dari tingkap bagi menyelamatkan diri selepas kediaman mereka terbakar di Kampung Muhibbah Baru, Menggatal, di sini.

Dalam kejadian jam 9.50 malam itu, empat rumah musnah terbakar bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. 

Salah seorang mangsa kebakaran, Suliani Aidi, 28, berkata, ketika kejadian dia bersama suami dan anak perempuan berumur lapan tahun sedang tidur di salah sebuah bilik di rumahnya. 

"Saya terjaga selepas terdengar letupan sebelum ibu dan dua ahli keluarga lain memberitahu rumah sebelah terbakar. 

“Suami kemudian membuka pintu rumah dan ketika itu api marak pantas merebak di depan rumah.

"Suami cuba memadam api namun gagal sebelum kami terjun dari tingkap rumah setinggi tiga meter untuk selamatkan diri," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, mereka sekeluarga sekali lagi berdepan kesukaran apabila terpaksa menyeberangi parit besar untuk ke kawasan selamat.

"Syukur kami semua terselamat walaupun semua harta benda musnah terbakar.

"Hanya dokumen penting yang kami dapat selamatkan selain baju yang kami pakai sehelai sepinggang sekarang ini," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Pengusaha Kanan Bomba, Kiniremmy Zikol@Lupi berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan kebakaran itu pada jam 9.57 malam.

Katanya, seramai 26 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan Kota Kinabalu bersama tiga jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran dua pancutan dari sumber air jentera. 

"Usaha memadam sisa kebakaran menghadapi kesukaran kerana ketiadaan air menyebabkan pasukan bomba menggunakan air dari rumah penduduk berdekatan," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kebakaran membabitkan empat rumah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya.

"Operasi dilaporkan terkawal pada 11.15 malam dan tiada mangsa dilaporkan terbabit.

"Punca kejadian masih dalam siasatan dan operasi ditamatkan pada 12.28 tengah malam," katanya. 

  • oleh
  • Advertisement