Anda di sini

Bedah siasat orang utan gagal temukan punca kematian: Christina

Advertisement
CHRISTINA
CHRISTINA

KOTA KINABALU: Laporan bedah siasat seekor orang utan jantan dewasa spesies Pongo pygmaeus yang ditemukan mati di Sungai Kinabatangan pada Isnin gagal menemuka  punca kematian sebenar haiwan terbabit.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew memaklumkan perkara itu sebaik menerima laporan bedah siasat daripada Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL) Augustine Tuuga.

“Saya sangat sedih dengan kematian orang utan yang dipercayai berusia 10 tahun itu dan JHL Sabah sudah diarah untuk mempergiatkan usaha melindungi khazanah hidupan liar negeri berikutan orang utan adalah spesies yang dilindungi sepenuhnya mengikut Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997.

“Berdasarkan laporan bedah siasat terbabit, haiwan itu bukan ditembak kerana tiada kecederaan luaran atau kesan tembakan dan tiada sebarang kesan patah di bahagian tulang.

“Orang utan itu mungkin terjatuh ke dalam sungai dan mati lemas dan ia tidak boleh berenang, kesan lebam di bahagian leher berkemungkinan berpunca daripada trauma akibat jatuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau bagaimanapun berkata, sampel organ yang dikumpul daripada haiwan itu, termasuk jantung, paru-paru, buah pinggang, hempedu dan hati akan dihantar untuk kajian makmal.

Terdahulu, sebaik bangkai orang utan itu dibawa ke darat, bedah siasat dijalankan oleh doktor haiwan di Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC) disebabkan lokasi pusat itu terletak paling hampir dengan tempat penemuan bangkai dalam keadaan terapung di Santuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan.

Christina turut memuji DGFC dengan tindakan pantas dalam menjalankan proses bedah siasat terbabit.

  • oleh
  • Advertisement