Anda di sini

Milan tewaskan Napoli 1-0 dalam aksi Serie A Itali

Advertisement
Hernandez (tengah) mengawal bola pada perlawanan Serie A Itali di antara  AC Milan dan Napoli di Stadium San Siro, di Milan, kelmarin. — Gambar AFP
Hernandez (tengah) mengawal bola pada perlawanan Serie A Itali di antara AC Milan dan Napoli di Stadium San Siro, di Milan, kelmarin. — Gambar AFP

MILAN: AC Milan meneruskan usaha mengejar pendahulu Serie A Itali, Inter Milan, apabila menewaskan Napoli 1-0 dan sekali gus menambah kekecewaan buat juara bertahan itu.

Theo Hernandez menjaringkan gol tunggal kemenangan pada minit ke-25 permainan di San Siro, selepas menerima umpanan cantik daripada Rafael Leao.

Milan kekal di tangga ketiga dan lapan mata di belakang kelab jirannya, Inter selepas meneruskan rentak tanpa kalah kepada sembilan perlawanan, di mana tujuh daripadanya adalah kemenangan.

“Kami bermain dengan sangat baik dalam bulan lepas, kami hampir mengejar Inter, dan mereka mengharungi satu musim yang hebat,” kata jurulatih Milan, Stefano Pioli.

“Theo mempunyai persefahaman yang sangat baik dengan Leao di sayap kiri, mereka saling mengenali di mana mereka sentiasa tahu di mana kedudukan mereka dalam padang.”

Ketika Inter mungkin terbukti terlalu sukar untuk dikejar, prestasi baik Milan baru-baru ini mengukuhkan kedudukan mereka untuk kelayakan ke Liga Juara-Juara musim hadapan.

Milan mempunyai kelebihan 13 mata di hadapan Bologna - yang membelasah Lecce 4-0 dan merampas tangga kelima liga dari AS Roma - dan hampir pasti akan memperolehi slot terakhir dalam Liga Juara-Juara musim hadapan.

Ia bagaimanapun bukan senario yang sama buat Napoli, dengan skuad kendalian Walter Mazzarri tercicir ke tangga kesembilan liga, tujuh mata di luar tangga keempat liga selepas kekalahan kelapan mereka musim ini.

Napoli juga ketinggalan 25 mata di belakang Inter dengan kedua-dua pasukan sudah bermain 23 perlawanan tetapi apa yang paling penting ialah risiko gagal layak ke Liga Juara-Juara.

Napoli, yang memenangi kejuaraan liga dengan bergaya musim lepas, sudah tewas lebih banyak perlawanan liga berbanding kemenangan sejak Mazzari mengambil alih tugas dari Rudi Garcia, yang dipecat pada bulan November.

Pada perlawanan lain, Atalanta mengukuhkan kedudukan untuk layak ke Liga Juara-Juara selepas menang bergaya 4-1 di Genoa.

Charles De Ketelaere dan Teun Koopmeiners meletakkan Atalanta selesa di hadapan pada minit ke-54 sebelum dua gol pada minit kecederaan oleh Davide Zappacosta dan El Bilal Toure memastikan Atalanta menamatkan hujung minggu di tangga keempat.

Atalanta, yang mempunyai kelebihan tiga mata di hadpaan Bologna, sudah memenangi empat perlawanan liga terakhir dan belum tewas dalam pertandingan liga dan piala pada tahun ini. — AFP 
 

Advertisement