Anda di sini

Korban tragedi tanah runtuh Filipina cecah 54

Advertisement
 

MANILA: Angka kematian susulan tragedi tanah runtuh berhampiran sebuah lombomg emas di Filipina meningkat mengejut kepada  54 orang kelmarin, menurut pegawai tempatan.

Sebanyak 19 mayat telah ditemui dari bawah runtuhan di perkampungan gunung selatan  Masara kelmarin manakala 63 pelombong lain dan penduduk masih hilang, kata pegawai  bencana wilayah dan perbandaran Maco Randy Loy.

Angka kematian sebelum itu adalah seramai 35 orang.

Tanah runtuh menimbus sebuah terminal bas pekerja firma perlombongan emas dan 55 rumah berhampiran pada malam Selasa, menyebabkan 32 orang tercedera.

Batu, lumpur dan pokok mengalir sehingga lebih 700 meter  (2,300 kaki) menuruni tepi gunung curam berhampiran konsensi Apex Mining Co., menimbus kawasan seluas 8.9 hektar yang menempatkan komuniti  Masara.

Seorang budak perempuan berusia tiga tahun ditarik keluar dari bawah runtuhan pada Jumaat, dalam apa yang dikatakan oleh anggota penyelamat sebagai satu keajaiban.

Pihak berkuasa berjanji untuk meneruskan pencarian sehingga semua orang yang disenaraikan hilang telah ditemui.

Hujan telah melanda beberapa bahagian di wilayah selatan secara tidak menentu selama beberapa minggu, mencetuskan beberapa kejadian tanah runtuh dan banjir yang mengakibatkan puluhan ribu penduduk ditempatkan di pusat perlindungan sementara.

Gempa bumi besar menjejaskan kestabilan di wilayah itu sejak beberapa bulan lepas. - AFP
 

Advertisement