Anda di sini

Jentera parti digesa jelaskan pembangunan kerajaan kepada rakyat

Advertisement
 Hajiji bergambar dengan sebahagian yang hadir sempena Majlis Santai Bersama Peserta (Fasilitator) Bersempena Kursus (ToT) Pemantapan Kepimpinan Gagasan Rakyat.
JENTERA: Hajiji bergambar dengan sebahagian yang hadir sempena Majlis Santai Bersama Peserta (Fasilitator) Bersempena Kursus (ToT) Pemantapan Kepimpinan Gagasan Rakyat.

KOTA KINABALU: Semua jentera penggerak parti termasuk fasilitator bertanggungjawab besar sebagai tonggak jentera hadapan untuk menjelaskan perjuangan dan pembangunan yang dibawa kerajaan negeri dalam tempoh tiga tahun ini kepada rakyat.

Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, ini kerana peserta termasuk semua fasilitator itu akan menjadi jentera hadapan kepada parti dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ini berkata, tidak sampai dua tahun lagi, semua jentera akan meminta mandat semula daripada rakyat.

"Justeru, apa yang penting, kita menjelaskan perjuangan dan pembangunan yang dibawa oleh kerajaan GRS sepanjang tempoh pemerintahan, kepada rakyat di peringkat akar umbi.

“Sebagai satu pasukan, kita perlu bekerjasama. Sebab itu, saya meminta kepada semua penggerak jentera parti dan fasilitator, apabila turun padang, jelaskan kepada rakyat bagaimana kerajaan hari ini melaksanakan pelbagai pembangunan demi memenuhi mandat rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis Santai Bersama Peserta (Fasilitator) Sempena Kursus (ToT) Pemantapan Kepimpinan Gagasan Rakyat di sini baru-baru ini.

Menurutnya, pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dibawa oleh kerajaan negeri berada di landasan yang betul.

“Menerusi agenda SMJ ini, kita memperkenalkan dasar mesra pelabur dengan membawa lebih ramai pelabur untuk melabur ke negeri ini yang bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak kita.

“Selain itu, kerajaan negeri turut mengadakan persidangan antarabangsa, dengan menjemput pelabur luar dan tempatan untuk datang melihat peluang yang ada di Sabah. 

"Semua usaha ini untuk merancakkan ekonomi, memberi peluang pekerjaan dan mengurangkan kemiskinan di negeri ini," jelasnya.

Beliau berkata, itu juga cara pihaknya berjuang dan semua pemimpin dan fasilitator diminta membawa usaha-usaha yang telah, sedang dan akan dibuat ketika turun padang bertemu rakyat di peringkat akar umbi.

Dalam pada itu katanya, fasilitator juga perlu memberi penekanan mengenai pentingnya perpaduan dalam kalangan rakyat di negeri ini.

“Jika bertemu dengan rakyat di kawasan masing-masing, jelaskan betapa pentingnya memantapkan perpaduan tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.
 

Advertisement