Anda di sini

EPL: McTominay penyelamat Man Utd, mengatasi Villa 2-1

Advertisement

Menerusi gol lewat pemain tengah Red Devils, sementara Arsenal membelasah West Ham 6-0 untuk kekal bersaing 

McTominay, Rasmus Hojlund dan Alejandro Garnacho (kanan) meraikan kemenangan sejurus tamat perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Aston Villa dan Manchester United di Villa Park di Birmingham, England, kelmarin. — Gambar AFP
McTominay, Rasmus Hojlund dan Alejandro Garnacho (kanan) meraikan kemenangan sejurus tamat perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Aston Villa dan Manchester United di Villa Park di Birmingham, England, kelmarin. — Gambar AFP

BIRMINGHAM: Scott McTominay mengembalikan harapan Manchester United untuk menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris dalam empat tangga teratas liga apabila gol lewat pemain tengah itu memastikan kemenangan 2-1 ke atas Aston Villa sementara Arsenal membelasah West Ham United di Stadium London untuk mengekalkan saingan kejuaraan liga pada Ahad.

United terdesak memerlukan kemenangan di Villa Park untuk merapatkan jurang saingan untuk kelayakan ke Liga Juara-Juara musim hadapan.

Skuad kendalian Erik ten Hag itu membuka jaringan menerusi gol Rasmus Hojlund sebelum Douglas Luiz mengikat kedudukan dalam separuh masa kedua.

Ia kemudian menyaksikan United menjaringkan gol kemenangan lewat buat kali kedua menentang Villa musim ini apabila McTominay masuk dari bangku simpanan untuk menanduk gol kedua United ketika berbaki empat minit permainan.

United kekal di tangga keenam liga selepas kemenangan keempat berturut-turut dalam semua pertandingan tetapi mereka hanya kurang lima mata di belakang Villa yang berada di tangga keempat dan enam mata di belakang Tottenham Hotspur yang berada di tangga keempat liga, slot terakhir kelayakan ke Liga Juara-Juara.

“Ini adalah satu kemenangan besar. Kami semakin hampir dan ia adalah sasaran untuk hari ini. Cara kami melakukan semua ini, saya menyukainnya,” kata Ten Hag.

“Pada kedudukan 1-1, kami terpaksa bangkit dan kami benar-benar gembira dengan semua ini. Ia sangat terbuka, seperti sukan tenis. Ia mungkin memihak kepada mereka tetapi kami menemui kekuatan mental dan karektor untuk memenangi perlawanan.”

Pengurus Villa, Unai Emery, menambah: “Kami bermain dengan baik menentang Manchester United tetapi kami gagal menjaringkan gol dari beberapa peluang terbaik.

“Keputusan ini sukar untuk kami terima tetapi ia lumrah bola sepak. Kami bermain seperti yang dirancang dan selayaknya lebih bagus lagi dari ini.”

Ketika empat tangga teratas liga masih tugas yang sukar buat United, mereka sekurang-kurangnya memberikan peluang dengan kemenangan bergaya di Villa Park.

Apa yang paling penting, mereka akhirnya menyerlah di jentera serangan selepas kempen yang tumpul sebelum ini.

Gol kemenangan Hojlund ketika menentang Villa sehari selepas Krismas memulakan satu tempoh di mana dia menjaringkan enam gol dalam tujuh perlawanan.

Di Stadium London, Declan Rice menjaringkan gol ketika kembali ke bekas kelabnya, West Ham ketika Arsenal menang besar 6-0 dalam satu penjelasan saingan yang serius untuk memburu kejuaraan liga.

Bukayo Saka menjaringkan dua gol sementara gol lain dijaringkan Leandro Trossard, William Saliba dan Gabriel Magalhaes dalam perlawanan luar biasa anak buah Mikel Arteta ketika mereka mencipta rekod baharu kelab dengan kemenangan besar di tempat lawan dalam liga.

Kemenangan meletakkan Arsenal kurang dua mata di belakang pendahulu liga, Liverpool dan hanya berada di belakang Manchester City dengan perbezaan gol.

“Kami mendahului 4-0 pada masa rehat dan boleh menjaringkan lebih banyak lagi gol,” kata Saka.

“Kami melihat peluang dan menamatkan saingan lebih awal.”

Peluang Arsenal mencabar kejuaraan liga yang pertama dalam masa 20 tahun kelihatan berakhir apabila tewas di tempat sendiri kepada West Ham, ketika mengharungi satu tempoh hanya satu kemenangan dari tujuh perlawanan di antara akhir tahun 2023 dan awal tahun 2024.

Bagaimanapun, mereka bangkit bergaya sejak rehat dua minggu musim sejuk untuk mengembalikan status mereka sebagai pencabar kejuaraan liga buat Manchester City dan Liverpool di kemuncak liga.

West Ham menewaskan Arsenal dua kali musim ini, juga menyingkirkan mereka dalam Piala Liga Inggeris pada bulan November.

Tetapi mereka dimalukan pada Ahad, sekali gus meningkatkan lagi spekulasi ke atas pengurus West Ham, David Moyes, yang akan tamat kontrak pada akhir musim ini.

“Mereka bermula dengan baik, itu sangat jelas sekali, ia bukan hanya empat gol dalam 15 minit,” kata Moyes.

“Saya tidak biasa denhgan pasukan bolos terlalu banyak seperti ini.”

Rice, bekas kapten West Ham dan membantu kelab memenangi kejuaraan Liga Konferensi Europa pada perlawanan terakhirnya sebelum perpindahan ke Arsenal dengan yuran perpindahan melebihi 100 juta pound.

Pemain antarabangsa England itu memberikan sebab jelas kenapa dia mahu berpindah ke Arsenal, iaitu impian untuk memenangi lebih banyak kejuaraan dengan satu umpanannya menghasilkan gol yang disempurnakan Gabriel.

Rice juga menambah lagi penderitaan bekas kelabnya apabila melengkapkan jaringan Arsenal namun pemain berusia 25 tahun itu tidak meraikan golnya sebagai menghormati bekas kelab dan penyokongnya. — AFP
 

Advertisement