Anda di sini

Zii Jia sedia beraksi pada Kejohanan BATC 2024

Advertisement
ZII JIA
ZII JIA

SHAH ALAM: Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia bersedia untuk bersaing pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 yang bermula esok hingga 18 Feb, selepas pulang daripada menjalani latihan di Korea Selatan baru-baru ini. 

Bekas juara Seluruh England itu berkata beliau yang “berguru” bersama Persatuan Badminton Korea (BKA) selama 10 hari dari 31 Jan hingga 9 Feb bersedia diturunkan bila-bila masa sekiranya khidmatnya diperlukan skuad negara. 

“Semestinya saya bersedia pada bila-bila masa jika pasukan memerlukan saya (untuk BATC). Tekanan memang ada dan kita perlu menghadapinya,” kata beliau kepada pemberita di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Zii Jia juga secara peribadi berpendapat Malaysia yang turun sebagai juara bertahan dan diundi dalam Kumpulan B bersama Brunei, Kazakhstan dan Taiwan pada BATC 2024 merupakan kelebihan buat pasukan negara.

Beliau bagaimanapun menjangkakan saingan sengit pada BATC 2024 tetap ada kerana kejohanan yang menawarkan slot ke Piala Thomas Mei nanti dengan empat pasukan terbaik layak automatik ke kejohanan berprestij itu, turut disertai beberapa nama besar dunia.

Ia termasuk pemain perseorangan ranking ketujuh dunia Prannoy H. S dari India, Weng Hong Yang (ke-16 dunia) dari China serta beregu lelaki pada kedudukan pertama dunia Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India.

“Sasaran pastinya Taiwan … jadi saya menantikan perlawanan yang sukar, namun pasukan akan memberikan yang terbaik,” katanya. 

Zii Jia berkata seperti kelayakan Piala Thomas dua tahun lepas, tidak semua negara menghantar pasukan terbaik mereka ke BATC kali ini, namun berdepan cabaran hebat demi mengekalkan gelaran sebagai juara bertahan.

Mengenai latihannya di Korea Selatan, Zii Jia berkata perancangan untuk berlatih di BKA sudah dibincangkan bersama jurulatihnya Wong Tat Meng sejak Disember tahun lepas. 

“Persekitaran di sana (Korea Selatan) amat menarik, saya perlu berterima kasih kepada BKA kerana membenarkan saya menjalani latihan di fasiliti mereka dengan semua pemain. Saya dapat katakan bahawa mereka mempunyai kemudahan dan pusat latihan terbaik di dunia," katanya. - BERNAMA 

Advertisement