Anda di sini

Sembilan keluarga terperangkap dalam kejadian kepala air

Advertisement
Anggota bomba mendapatkan maklumat sebelum operasi menyelamat di Sungai Yong, Bukit Goram semalam.
Anggota bomba mendapatkan maklumat sebelum operasi menyelamat di Sungai Yong, Bukit Goram semalam.

SIBU: Aktiviti  perkhemahan yang dijangka ceria berubah menjadi kisah cemas bagi sembilan keluarga merangkumi 41 orang yang berkhemah di tebing Sungai Yong, Bukit Goram apabila terperangkap dalam kejadian kepala air semalam.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba Malaysia (JPBM) Sarawak, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 8.32 malam sebelum menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapit ke lokasi.

Pasukan itu turut disertai dua pegawai polis dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Kesemua mangsa yang berasal dari Bintulu yang berkhemah sejak Sabtu lalu berdepan detik cemas apabila air sungai naik secara tiba-tiba, menyebabkan mereka terperangkap di tebing seberang," katanya dalam satu kenyataan. 

Jelasnya, operasi penyelamatan memerlukan tindakan pantas dan berkesan.

“Pasukan operasi memasang tali keselamatan, membolehkan mangsa menyeberangi sungai sedalam kira-kira 1.5 meter.

“Dengan bantuan tali berasingan yang dipasang pada tali keselamatan, anggota penyelamat secara berperingkat membantu mangsa menyeberangi sungai dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan yabg dikeluarkan semalam.

Operasi tamat jam 9.56 malam dan semua mangsa berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan.

  • oleh
  • Advertisement