Anda di sini

Polisi bebas visa untuk pelawat China terbukti berjaya, bermanfaat: Tiong

Advertisement
Tiong (lima kiri) bersama para kenamaan yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka PDP Wilayah Tengah di Sibu, hari ini.
Tiong (lima kiri) bersama para kenamaan yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka PDP Wilayah Tengah di Sibu, hari ini.

SIBU: Polisi kemasukan tanpa visa selama 30 hari untuk pelawat dari China terbukti berjaya dan memberi manfaat kepada kedua-dua negara, kata Datuk Seri Tiong King Sing.

Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia itu, negara telah mencatatkan peningkatan sebanyak 35 peratus dalam ketibaan pelancong China pada bulan Disember sahaja susulan pelaksanaan dasar itu pada 1 Disember 2023.

"Pada 1 dan 2 Disember tahun lepas, terdapat 276 atau 100 peratus pelancong China tiba dengan penerbangan dari Shenyang.

"Jadi itu terbukti jika kita mempunyai polisi bebas visa, ia memberi banyak kemudahan kepada kedua-dua pihak," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parti Demokratik Progresif (PDP) Wilayah Tengah di Pulau Li Hua di sini, hari ini.
 
Menjawab soalan, Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu berkata, Malaysia telah menyediakan visa percuma kepada banyak negara.

"Melainkan ada isu keselamatan maka Kementerian Dalam Negeri perlu menyelesaikannya dari situ," katanya.

Mengenai rumah terbuka itu, beliau berkata, ia adalah bukti keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

"Jangan kita terlalu memikirkan isu perkauman dan jangan sebarkan cerita tidak berasas yang boleh memecahbelahkan perpaduan kita," katanya yang juga presiden PDP merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong.

Antara kenamaan yang hadir pada majlis rumah terbukanya ialah Temenggung Dato Vincent Lau, Kaunselor Kevin Lau, Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Dato Sri Wong Soon Koh dan isterinya Datin Sri Pauline Leong, Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Mohammed Abdullah Izkandar Roseley, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Alice Lau dan Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong Wong Ching Yong.

Advertisement