Anda di sini

PKS bekerjasama dengan SLB, PERKESO adakan sesi temu duga bagi graduannya

Advertisement
Graduan Politeknik merakam gambar bersama semasa sesi temu duga di Wisma PERKESO Kuching. 
Graduan Politeknik merakam gambar bersama semasa sesi temu duga di Wisma PERKESO Kuching. 

KUCHING: Politeknik Kuching Sarawak (PKS) bekerjasama dengan Schlumberger WTA Sdn Bhd (SLB) dan PERKESO mengadakan sesi temu duga bagi graduannya pada 6 dan 7 Februari lepas di Pejabat PERKESO Negeri Sarawak di sini. 

Seramai 40 graduan Politeknik Kuching dan Politeknik Mukah menghadiri sesi temu duga tersebut bagi merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh Kumpulan SLB. 

Kerjasama ini merupakan satu usaha penting untuk membantu graduan baharu dalam mendapatkan peluang pekerjaan yang menawarkan gaji yang kompetitif. 

Pengarah Politeknik Kuching Samsudin Mohd Salleh berkata: “Kami sangat gembira melihat respons positif daripada graduan dan rakan industri kami. 

“Kerjasama ini bukan sahaja menyediakan pelajar kami akses kepada peluang kerjaya premium tetapi juga mencerminkan komitmen kami untuk memupuk bakat dan memupuk perkongsian industri-akademik yang kukuh,” katanya. 

Dalam pada itu SLB merupakan peneraju global dalam teknologi, pengurusan projek bersepadu dan takungan percirian, terkenal dengan penyelesaian inovatif dan komitmen terhadap kecemerlangan. 

Melalui kerjasama ini, SLB berhasrat untuk mengenal pasti dan merekrut bakat terbaik daripada politeknik, menawarkan mereka gaji yang kompetitif dan platform untuk cemerlang dalam kerjaya mereka. 

Pengarah PERKESO Negeri Sarawak Tan Phang Chia pula berkata pihaknya gembira dapat menyokong inisiatif yang memperkasakan bakat muda dan memudahkan peralihan mereka ke dalam tenaga kerja. 

“Dengan kerjasama dengan pemimpin industri seperti SLB, kami dapat mencipta lebih banyak peluang untuk pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi di Sarawak,” katanya. 

Advertisement