Anda di sini

KPKM dukung azam Sarawak jadi pengeksport beras

Advertisement

Mohamad yakin kesungguhan dalam perkara ini akan menjadikan Sarawak jelapang padi kedua selepas Kedah

Mohamad (tiga kiri) semasa kunjungan hormat terhadap Abang Johari. - Gambar Penerangan
Mohamad (tiga kiri) semasa kunjungan hormat terhadap Abang Johari. - Gambar Penerangan

KUCHING: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mendukung dan berganding bahu dalam menjayakan azam Sarawak untuk menjadi pengeksport beras.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu yakin, kesungguhan yang ditunjukkan Kerajaan Sarawak dalam perkara tersebut akan menjadikan Sarawak sebagai jelapang padi kedua (di Malaysia) selepas Kedah. 

Menurutnya, dari sudut perkongsian teknologi, KPKM sedia memberikan kerjasama di peringkat universiti, penyelidikan serta dalam hal-hal berkaitan sistem saliran kepada Kerajaan Sarawak dalam usaha menyokong hasrat tersebut.

"Sistem saliran adalah penting bagi sawah padi dan jika kita bercakap tentang penanaman padi untuk dua hingga lima musim, ia memerlukan perbelanjaan yang besar.

"Justeru, kita (kerajaan persekutuan dan negeri) perlu berkongsi tanggungjawab ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, Jumaat lalu.

Menurut Mohamad, usaha ke arah merealisasikan perkara itu juga telah dimulakan dengan lawatan ke kawasan Parlimen Batang Lupar (tapak Projek SMART Sawah Padi Berskala Besar (SBB) Tanjung Bijat, tapak penanaman padi tadisional Stumbin serta tapak penanaman padi bukit di Rumah Halary Nyelam) pada Khamis (6 Februari) dan akan ditingkatkan dari semasa ke semasa.

"Penyediaan infrastruktur juga bermula dari sekarang," tambahnya.

Pertemuan Mohamad bersama Abang Johari pagi itu menjurus kepada pelbagai bentuk kerjasama bagi terus memodenkan sektor pertanian di Sarawak, sekali gus memajukan sektor agromakanan negara secara keseluruhannya.

Kerajaan persekutuan dan Sarawak berkongsi aspirasi yang sama serta komited untuk memperkukuh kerjasama khususnya menggalakkan penggunaan teknologi dalam aktiviti pertanian bagi meningkatkan hasil pengeluaran sekali gus memastikan keterjaminan bekalan makanan negara.

Pemerkasaan penggunaan teknologi moden dalam pertanian juga merupakan antara langkah penyelesaian bagi menangani isu dan cabaran yang dihadapi sektor agromakanan di peringkat domestik mahupun global.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri KPKM Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Datuk Azah Hanim Ahmad dan Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Datuk Azman Mahmood.

Advertisement