Anda di sini

Kerajaan Sabah sedia RM191 juta peruntukan untuk kebajikan tahun ini

Advertisement
NIZAM
NIZAM

TAWAU: Kerajaan Sabah menyediakan RM170 juta dana perbekalan serta RM21 juta dana pembangunan bagi Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah pada tahun ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata dana berkenaan adalah khusus untuk memberi perhatian kepada usaha menaik taraf pelbagai infrastuktur kebajikan dan aspek bantuan kebajikan.

"Hal ini antaranya, kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan yang wajar diberi perhatian termasuk golongan warga emas yang menghuni rumah warga tua di negeri ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Sambutan Majlis Tahun Baru Cina anjuran Persatuan Jalinan Kasih Harapan Rakyat Sabah (PJKHRS) bagi meraikan 40 penghuni Rumah Warga Tua di Jalan Air Panas di sini hari ini.

Sementara itu, Nizam yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Apas turut mahu lebih banyak usaha daripada badan bukan kerajaan menyantuni golongan yang memerlukan bantuan.

"Kita menyokong inisiatif PJKHRS ini yang dapat mendidik golongan belia lebih mengormati dan tampil meraikan golongan warga emas di sini untuk menggembirakan mereka," katanya lagi. - BERNAMA

Advertisement