Anda di sini

JETRO jangka peningkatan eksport makanan laut Jepun ke Malaysia pada 2024

Advertisement
Gambar hiasan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) menjangkakan eksport makanan laut Jepun ke Malaysia pada tahun ini meningkat berikutan pertumbuhan pesat industri pelancongan dan kelemahan yen.

Pengarah Urusan JETRO Kuala Lumpur Koichi Takano berkata harapan terhadap pertumbuhan ekonomi yang lebih baik di Malaysia akan turut mendorong permintaan terhadap makanan laut Jepun.

“Kerajaan Jepun telah membuat penjelasan yang teliti mengenai keselamatan makanan laut Jepun berdasarkan bukti saintifik mengikut piawaian antarabangsa dan melaksanakan semua langkah pencegahan selamat yang sewajarnya,” katanya kepada BERNAMA dalam temu bual baru-baru ini.

Pada 24 Ogos tahun lepas, Jepun memulakan pelepasan air terawat ke lautan dari loji janakuasa nuklear Fukushima Daiichi, yang telah musnah akibat tsunami pada 2011.

Laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memaklumkan pelepasan air terawat dalam Sistem Pemproses Cecair Lanjutan (ALPS) ke lautan yang dicadangkan oleh Tokyo Electric Power Company (TEPCO) selaku operator loji nuklear itu, mempunyai kesan radiologi yang kecil kepada alam sekitar dan manusia.

"Kami menggalakkan pengedar, restoran dan peruncit Malaysia untuk mengimport lebih banyak produk Jepun, termasuk makanan laut dan makanan diproses," kata Takano.

Beliau berkata berdasarkan statistik perdagangan rasmi kerajaan Jepun yang terkini, negara itu mengeksport sebanyak 4.369 bilion yen (100 yen = RM3.18) hasil laut seperti ikan, telur ikan, krustasia dan hasil laut dalam tin, ke Malaysia dari Januari hingga Disember 2023, peningkatan 16 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2022.

Dalam lawatan rasmi oleh rakan sejawat dari Jepun Fumio Kishida tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah diberikan jaminan mengenai kesan radiologi yang minimum dari pelepasan air terawat loji nuklear itu dan akan terus mengimport produk Jepun.

Pengurus Besar Sendo Ichi Malaysia Aldred Yaw berkata permintaan terhadap makanan laut Jepun semakin meningkat di restoran pada masa ini memandangkan pelanggan menikmati makanan laut dari masa ke masa.

“Orang ramai berbelanja lebih besar dalam sektor makanan dan minuman pada Disember dan Januari berikutan musim perayaan.

"Malaysia juga mempunyai minat dan permintaan yang sangat tinggi terhadap makanan laut Jepun," katanya kepada Bernama.

Yaw berkata kerang dari Hokkaido amat popular berikutan kemanisan dan kesegarannya.

“Jepun, sebagai antara pengeksport kerang terbesar di dunia, turut terkenal dengan hasil laut lain seperti ketam, tiram dan landak laut yang ditemui di Hokkaido, dengan lautnya yang kaya dengan hidupan dan sumber akuatik,” katanya.

Dari segi harga, Yaw berkata tiada kenaikan mendadak dalam harga makanan laut Jepun memandangkan Sendo Ichi selaku pembekal produk makanan laut segar dan sejuk beku, telah bekerjasama dengan pengeluar dan pengeksport terkemuka dari Jepun yang mengawal harga dengan teliti dan berdaya saing dari segi kos.

“Kebanyakan makanan laut yang dibawa dari Jepun diternak dari laut berikutan isu kelestarian dan bagi memastikan tangkapan yang stabil,” katanya.

Menurut Yaw, Jepun turut terkenal dengan hasil laut lain seperti Hamachi (ikan ekor kuning) dan tuna sirip biru yang sering mendapat perhatian, kebanyakannya diperoleh daripada pengeluar di wilayah Aomori, Miyagi dan Hokkaido.

Beliau berkata tuna sirip biru Jepun yang dikenali sebagai Rolls Royce bagi kategori ikan tuna, dikatakan meraih harga lelongan yang tinggi kira-kira RM280,000 bagi seekor tuna seberat 60 kilogram di pasar ikan Tokyo tahun lepas.

“Terdapat dua pengusaha restoran besar di Jepun yang bertanya dengan Sendo Ichi mengenai minat mereka untuk membuka restoran di Malaysia tahun ini memandangkan mereka melihat potensi dalam pasaran Asia Tenggara dan Malaysia sebagai antara destinasi pelancongan terkemuka di dunia,” katanya. - BERNAMA

Advertisement