Anda di sini

Perpaduan kukuh rakyat Sarawak pacu pembangunan lebih mampan: Abang Johari

Advertisement
Tun Wan Junaidi (tiga kanan) bersama Abang Johari (lima kiri) bersama Dr Sim (empat kiri) serta tetamu jemputan lain menunjukkan poster tulisan kaligrafi sempena sambutan TBC 2024. - Gambar Chimon Upon
Tun Wan Junaidi (tiga kanan) bersama Abang Johari (lima kiri) bersama Dr Sim (empat kiri) serta tetamu jemputan lain menunjukkan poster tulisan kaligrafi sempena sambutan TBC 2024. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Perpaduan yang kukuh di kalangan rakyat negeri ini dapat membantu menumpukan kegiatan kepada pembangunan lebih mampan kepada Sarawak.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia sekali gus meningkatkan ekonomi negeri yang akan meningkatkan taraf hidup masyarakat bandar dan luar bandar.

“Dalam Tahun Naga ini, kita berharap keadaan kita lebih makmur, ekonomi kita lebih mampan dan masyarakat berbilang kaum dan agama terus mengamalkan hidup bersatu padu.

“Dengan adanya keadaan masyarakat bersatu padu, kita dapat menumpukan kegiatan kepada pembangunan yang lebih lestari kepada negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina peringkat Sarawak 2024 yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jafaar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Tun Wan Junaidi bersama isteri, merakam kenangan bersama tetamu jemputan yang hadir sempena TBC 2024 di BCCK. - Gambar Chimon Upon
Tun Wan Junaidi bersama isteri, merakam kenangan bersama tetamu jemputan yang hadir sempena TBC 2024 di BCCK. - Gambar Chimon Upon

Tambah Abang Johari, kerajaan akan terus membela keadaan masyarakat di bandar dan luar bandar menerusi ekonomi yang baik dari negeri ini.

Sementara itu, Tun Wan Junaidi yang turut ditemui media mengalu-alukan semua rakyat Sarawak tanpa mengira bangsa dan agama bersamai meraikan Tahun Baharu Cina.

“Saya menjemput semua rakyat Sarawak, tidak mengira bangsa dan agama meraikan Tahun Baharu Cina,” ujarnya.

Sementara itu, dianggarkan lebih 5,000 pengunjung pelbagai lapisan latar belakang hadir pada rumah terbuka yang diadakan dari jam 9.30 pagi.

Rumah Terbuka TBC peringkat negeri itu merupakan yang pertama diadakan dan menyaksikan Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian sebagai pengerusi pengelola.

Selain orang awam, rumah terbuka itu juga dikunjungi menteri dan timbalan negeri dari kedua-dua kerajaan negeri dan persekutuan selain daripada ketua-ketua jabatan kerajaan.
 

  • oleh
  • Advertisement