Anda di sini

Isu infrastruktur di Pulau Sebatik perlu diselesaikan segera

Advertisement
 Shaharizan (enam kiri) bergambar bersama wakil ketiga-tiga kampung yang menerima sumbangan.
ALBUM: Shaharizan (enam kiri) bergambar bersama wakil ketiga-tiga kampung yang menerima sumbangan.

TAWAU: Kerajaan negeri perlu menyelesaikan isu-isu berkaitan masalah infrastruktur di Pulau Sebatik, di sini supaya penduduk juga dapat menikmati hasil-hasil yang diperoleh daripada Sabah.

Ketua Wira Parti Warisan (WARISAN) Kalabakan, Shaharizan Jikirun berkata, Pulau Sebatik masih banyak lagi kekurangan dari segi infrastrukturnya seperti bekalan air bersih dan jalan raya.

Katanya, selama ini, kerajaan negeri hanya mengumumkan perolehi hasil dan ekonomi Sabah yang semakin meningkat, namun keadaan Pulau Sebatik masih tidak menunjukkan perubahan.

“Rakyat bukan seperti dahulu lagi yang mudah terpedaya dengan janji manis, tetapi mereka sudah pandai menilai prestasi kerajaan yang memerintah.

“Apa yang mereka lihat, masalah infrastruktur semakin tidak terurus dan penduduk terus diambang krisis terputus bekalan air bersih,” katanya.

Beliau yang juga Exco Wira WARISAN Pusat berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan tiga unit pam air di Pulau Sebatik, di sini semalam.

 Shaharizan (kiri) menyampaikan sumbangan pam air kepada wakil Kampung Sungai Tongkang.
SUMBANGAN: Shaharizan (kiri) menyampaikan sumbangan pam air kepada wakil Kampung Sungai Tongkang.

Menurutnya, sampai bila penduduk Pulau Sebatik harus ketinggalan dari arus kemodenan sedangkan Sabah sebuah negeri yang kaya.

“Kerajaan negeri tidak boleh menuding jari dengan kerajaan yang lepas kerana ia hanya alasan untuk mengelak dan melepaskan diri daripada kelemahan sendiri.

“Kerajaan negeri sudah diberikan tampuk pemerintahan selama tiga tahun, sepatutnya isu infrastruktur seperti bekalan air sudah tidak timbul lagi,” katanya.

Selain itu, katanya, penduduk Pulau Sebatik juga sering mengalami masalah menghantar buah kelapa sawit mereka ke kilang kerana jalan pertanian tidak diselenggara dengan baik.

“Saya berharap kerajaan negeri perlu mengambil tindakan proaktif dan serius dalam menangani masalah yang dialami penduduk di Pulau Sebatik,” katanya.

Terdahulu, sumbangan pam air berkenaan masing-masing disumbangkan untuk kegunaan penduduk di Kampung Bergosong Besar, Sungai Limau dan Sungai Tongkang.

  • oleh
  • Advertisement