Anda di sini

Pendapatan Sarawak dijangka terus meningkat 

Advertisement
Abang Johari ditemani isteri, Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang. 
  • Ekonomi negeri ini dilihat semakin kukuh, tahun lepas sahaja hasil pendapatan Sarawak berjumlah RM13.3 bilion

Oleh Jessica Jawing

KUCHING: Sarawak dijangka dapat terus meningkatkan pendapatannya pada tahun depan dan tahun-tahun mendatang apabila ekonomi negeri ini dilihat semakin kukuh.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pada tahun lepas sahaja hasil pendapatan Sarawak berjumlah RM13.3 bilion.

“Sebagai Premier, apa yang saya ingin beritahu kepada rakan-rakan Cina dan rakyat Sarawak ialah persekitaran sekarang kondusif untuk perniagaan berkembang dan Sarawak yang kita cintai sedang dalam langkah untuk mencapai status negeri maju menjelang 2030. 

“Dengan kestabilan politik dan kesepaduan sosial kita, saya yakin kita mampu mencapainya, Insya-Allah.

“Tahun lepas merupakan tahun yang baik di mana kita mencapai beberapa perkara yang telah dirancang, terutama penubuhan Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak (SSWFF) dengan modal benih permulaan RM8 bilion dan peruntukan tahunan progresif antara RM400 juta hingga RM600 juta sehingga 2034 daripada Kerajaan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Tahun Baharu Cina ini.

Tambah Abang Johari, modal benih akan dilaburkan dalam portfolio berkaitan seperti yang ditentukan oleh Lembaga Penjaga SSWFF yang terdiri daripada angka monetari antarabangsa supaya dana itu akan berkembang dan meningkatkan simpanan kita.

Katanya, lembaga dana akan melaporkan kepada Dewan Undangan Negeri dengan peruntukan bahawa tiada pengeluaran untuk 20 tahun akan datang dalam keadaan biasa.

“Kami dapat menubuhkan SSWF kerana Sarawak mempunyai simpanan yang cukup kukuh dan hasil kami terus meningkat,” katanya.

Beliau menegaskan, angka Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tidak selalu memberikan gambaran sebenar tentang kekayaan dan kemajuan sosial sesebuah negara sehingga mendorong pembentukan suruhanjaya khas di Barat pada 2008.

Katanya ia untuk mengkaji bagaimana kekayaan dan kemajuan sosial sesebuah negara boleh diukur dan bukannya bergantung kepada KDNK uni-dimensi.

“Laporan suruhanjaya itu telah membawa kepada penerimaan SDG oleh PBB yang telah menjadi asas kepada rumusan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) sebagai pelan hala tuju pembangunan Sarawak menuju 2030.

“Oleh itu, PCDS 2030 sejajar dengan SDG di mana kemakmuran ekonomi mesti memberi manfaat kepada semua orang tanpa mengira kaum dan agama di samping memberi penekanan kepada kelestarian alam sekitar kita,” katanya.

Tambah beliau, persekitaran progresif pembangunan ekonomi negeri dalam beberapa tahun kebelakangan ini cukup jelas apabila perniagaan, tokoh korporat, bank dan pelabur asing terus datang menyeru untuk menyatakan minat mereka untuk bekerjasama dengan Sarawak.

Sementara itu beliau turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada rakan Cina yang meraikannya dan semoga Tahun Naga menjadi satu lagi tahun yang berjaya untuk Sarawak dan rakyatnya.
 

Advertisement