Anda di sini

Wanita memandu mabuk dipenjara, denda RM10,000

Advertisement
 Kedua-dua tertuduh diiring keluar selepas prosiding mahkamah dijalankan.
PADAH: Kedua-dua tertuduh diiring keluar selepas prosiding mahkamah dijalankan.

TAWAU: Seorang wanita dihukum penjara empat hari dan denda RM10,000 selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol pada 18 Januari lepas.  

Tertuduh, Nurlyna berusia 20 tahun dikenakan hukuman itu selepas membuat pengakuan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira jam 3.35 pagi di Jalan Sim Hua Seng, sebagai pemandu kenderaan.

Hasil ujian saringan pernafasan didapati kandungan alkohol dalam darah tertuduh melebihi had yang dibenarkan iaitu 50 miligram etil dalam 100 mililiter darah.

Kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A (1) APJ 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda sehingga RM30,000.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara tiga bulan jika gagal membayar denda dan lesen memandu digantung selama dua tahun.

Dalam mahkamah yang sama, seorang lelaki dipenjara dua hari dan denda RM1,500 selepas mengaku bersalah mengambil bahagian dalam pertandingan atau menduga kelajuan pada 28 Januari lepas.

Tertuduh, Vincent Lim Vui Sen, 20, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Chong Thien Vun, kira-kira jam 12.22 tengah malam.

Vincent didakwa mengikut Seksyen 81 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dihukum penjara sebulan jika gagal membayar denda dan lesen percubaan dibatalkan dan tidak layak memegang lesen memandu selama dua tahun.

Semua pendakwaan berkenaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement