KUCHING: Padah mengamuk dan merosakkan barang-barang di rumah, seorang gadis berusia 24 tahun dijatuhi hukuman denda RM1,000 atau penjara dua minggu oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman terbabit terhadap Nur Arfifa A’min Army selepas dia mengaku bersalah mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, gadis itu didakwa melakukan khianat dengan merosakkan barang-barang rumah sehingga mengakibatkan kerugian lebih kurang RM200.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya di sebuah rumah di Bandar Baru Semariang Fasa 1, Petra Jaya di sini pada 5 Februari 2024 sekitar jam 8.30 malam.
Fakta kes mendedahkan tertuduh tiba-tiba mengamuk di rumah pada hari kejadian dan membaling kipas angin ke atas lantai bilik, memecahkan sebuah telefon bimbit dan menolak pintu pagar besi sehingga ia tanggal.
Pemilik barangan tersebut iaitu ibu angkat tertuduh (pengadu) kemudian membuat laporan polis sehingga membawa kepada penangkapan tertuduh pada hari sama, sekitar jam 11.30 malam.
Difahamkan, tertuduh berada dalam keadaan marah dan juga mungkin di bawah pengaruh dadah pada hari kejadian.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.