Anda di sini

Fitnah Sultanah Terengganu, Editor Sarawak Report dihukum penjara dua tahun

Advertisement
 

KUALA TERENGGANU: Pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown semalam dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini selepas didapati bersalah atas pertuduhan memfitnah Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah. 

Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri memerintahkan hukuman penjara terhadap Rewcastle-Brown bermula dari tarikh sabitan iaitu semalam.

Beliau berkata setelah meneliti dan membuat penilaian secara maksimum dan setelah meneliti keterangan saksi pendakwaan serta ekshibit dikemukakan dan hujahan pihak pendakwaan, mahkamah  berpuas hati satu kes prima facie telah berjaya dibuktikan oleh pasukan pendakwaan.

“Memandangkan perbicaraan dijalankan secara in absentia (tanpa kehadiran), mahkamah dengan ini mendapati Rewcastle-Brown bersalah dan disabitkan sebagaimana pertuduhan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu hukuman penjara dua tahun dari tarikh sabitan. 

“Waran pemenjaraan akan dikeluarkan untuk serahan oleh pihak pendakwaan,” kata Nik Mohd Tarmizie.

Mengikut pertuduhan, Rewcastle-Brown yang beralamat di London, United Kingdom telah menulis sebuah buku bertajuk, The Sarawak Report-The Inside Story of 1MDB Expose yang mengandungi tohmahan terhadap Sultanah Terengganu.

Tohmahan seperti yang digariskan iaitu the wife of the Sultan terhadap Sultanah Terengganu pada muka surat tiga, perenggan keempat dan baris ketujuh itu adalah suatu fitnah yang diketahui Rewcastle-Brown akan merosakkan nama Sultanah Nur Zahirah. 

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada 8 pagi, 14 Sept 2018 di Lot 60048, Taman Chendering Utama, di sini mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Engku Ahmad Rashidi Engku Abdillah, manakala tertuduh tidak hadir ke mahkamah dan perbicaraan dijalankan secara  in absentia di bawah Seksyen 425A Kanun Tatacara Jenayah.

Sebelum ini, Rewcastle-Brown didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu secara tanpa kehadiran tertuduh pada 23 Sept 2021 sebelum membuat pemohonan untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur K. Muniandy pada 21 Jun 2023 menolak permohonan itu dan kes kekal dibicarakan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

Pada 12 Dis tahun lepas, Mahkamah Rayuan memerintahkan Rewcastle-Brown dan dua yang lain membayar ganti rugi RM300,000 kepada Sultanah Nur Zahirah kerana memfitnah baginda.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azhahari Kamal Ramli membenarkan rayuan Sultanah Nur Zahirah untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Okt tahun lepas yang menolak saman baginda terhadap Rewcastle-Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise Chong Ton Sin dan syarikat percetakan Vinlin Press Sdn Bhd.

Dalam keputusan mahkamah yang disampaikan secara dalam talian itu, Hakim Azhahari berkata kenyataan dalam buku bertajuk, The Sarawak Report-The Inside IMDB Expose adalah fitnah terhadap Sultanah.

Beliau berkata mahkamah juga mendapati Chong serta syarikat percetakan Vinlin Press bertanggungjawab bersama kerana memfitnah Sultanah dan memerintahkan ketiga-tiga responden untuk bersama-sama membayar ganti rugi RM300,000 kepada Sultanah Nur Zahirah.

Beliau turut mengarahkan Rewcastle-Brown, Chong dan Vinlin Press membayar kos RM120,000 kepada Sultanah Nur Zahirah.- BERNAMA

Advertisement