Anda di sini

PETROSNiaga tambah bekalan silinder gas untuk daerah Sibu menjelang TBC

Advertisement
Chieng pada sidang media berkenaan dengan bekalan masalah silinder gas di Sibu, hari ini.
Chieng pada sidang media berkenaan dengan bekalan masalah silinder gas di Sibu, hari ini.

SIBU: PETROSNiaga telah menambah bilangan silinder gasnya untuk daerah Sibu bermula Jumaat susulan permintaan tinggi menjelang sambutan Tahun Baharu Cina (TBC).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng berkata, beliau telah meminta pihak PETROSNiaga berbuat demikian memandangkan masih terdapat masalah pertukaran silinder gas susulan kekurangan bekalannya di sini.

"Saya telah menerima banyak aduan mengenai perkara ini dan ia masih berlaku lagi. Jadi, saya telah memaklumkan pihak PETROSNiaga untuk mengatasi masalah tersebut dengan segera.

"Semalam (Jumaat) mereka memaklumkan kepada saya bahawa silinder gas akan ditambah untuk daerah Sibu sahaja bagi menampung permintaan tinggi menjelang sambutan Tahun Baharu Cina ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Chieng bagaimanapun enggan mendedah jumlah pertambahan silinder gas yang diperuntukkan oleh pihak PETROSNiaga, sebaliknya mengatakan jumlahnya cukup untuk menyelesaikan isu kekurangan silinder gas dan pertukaran silinder gas boleh dilakukan.

"Peningkatan jumlah silinder gas bermula dari semalam (Jumaat) hingga 8 Februari bagi menunaikan permintaan musim perayaan ini. Saya harap masalah ini akan selesai," tegasnya.

Chieng memberitahu sempena dengan perayaan ini PETROSNiaga akan membuka talian Hotline PETROS Tahun Baharu Cina untuk daerah Sibu bagi menerima aduan dan masalah berkaitan silinder gas ini.

Menurutnya, nombor hotline pertama ialah 011-55120717 dan kedua ialah 014-5339855 bagi memudahkan orang ramai menghubungi pihak PETROSNiaga untuk memaklumkan masalah berkaitan gas dari Isnin hingga Sabtu, jam 9 pagi hingga jam 5 petang sahaja.

PETROSNiaga juga katanya, turut menyediakan PETROS Hotline 1300-882-122 untuk dihubungi bagi perkara yang berkaitan.

"Saya berharap orang ramai dapat menghubungi nombor-nombor tersebut untuk aduan anda dan memudahkan anda mendapat bekalan silinder gas dan mereka akan selesaikan untuk anda.

"Komitmen yang ditunjukkan pihak PETROSNiaga amat dihargai kerana mereka sentiasa menerima maklum balas daripada rakyat dengan bertindak segera untuk menyelesaikannya kerana adalah sangat penting untuk kita memberi keyakinan kepada rakyat," tambahnya.
 

  • oleh
  • Advertisement