Selaras hasrat menuju ke arah pendigitalan untuk kongsi maklumat korporat, fungsi, direktori kakitangan, perkhidmatan
KUCHING: Pelbagai agensi kerajaan negeri ini telah menyediakan perkhidmatan dalam talian selaras dengan hasrat Kerajaan Sarawak menuju ke arah pendigitalan.
Pengarah Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU) Grace Huong Siew Hung berkata, setiap agensi kerajaan negeri mempunyai laman web sendiri untuk diselenggara dengan tujuan untuk berkongsi maklumat korporat, fungsi, direktori kakitangan dan perkhidmatan agensi masing-masing.
Menurut beliau, ke arah itu adalah penting bagi juruweb untuk mengemas kini dan memaparkan perkhidmatan agensi di tapak web.
“Oleh itu, kita (agensi-agensi kerajaan negeri) mesti memastikan laman web agensi kerajaan sentiasa dikemas kini dengan maklumat terkini.
“Tambahan pula, kandungan mestilah dalam dwibahasa iaitu dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris kerana ia merupakan salah satu kriteria di bawah penilaian Kementerian Digital yang sebelum ini dikendali pihak Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU),” katanya yang dipetik dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak.
Beliau berkata demikian pada Program Minggu Digitalisasi SCSDU di sebuah hotel di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Grace berkata MAMPU telah melaksanakan sistem baharu yang dinamakan Sistem Pemantauan Laman Web dan Servis Kerajaan (SPLASK) untuk penilaian laman web.
“Kami juga telah menambah baik dan mereka bentuk enam templat untuk dipilih oleh juruweb dan ia membenarkan campuran dan padanan dalam enam templat.
“Saya berharap semua juruweb mempunyai acara yang bermanfaat dan mengambil peluang ini untuk belajar dan bertanya soalan untuk memastikan semua laman web agensi kerajaan dikemas kini dengan maklumat dan perkhidmatan terkini yang membolehkan orang ramai mengakses,” ujarnya.
Program Minggu Digitalisasi SCSDU diadakan selama lima hari bermula 29 Januari hingga 2 Februari 2024 yang disertai seramai 170 penjawat awam daripada pelbagai agensi.