Anda di sini

Pemilik premis gagal letak tanda harga dikompaun RM50,000

Advertisement
 Azdy (berdiri) ketika menjalankan pemeriksaan ke atas premis berkenaan.
KOMPAUN: Azdy (berdiri) ketika menjalankan pemeriksaan ke atas premis berkenaan.

SANDAKAN: Pemilik sebuah kedai, di sini berhadapan kompaun RM50,000 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selepas didapati gagal meletakkan tanda harga barang.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Sandakan, Azdy Zukkry John berkata, pihaknya menerima aduan awam mengenai harga barang dan kemudahan mengecas alat komunikasi di sebuah kedai yang terletak di hospital, di sini.

Katanya, susulan itu, sepasukan pegawai penguatkuasa KPDN cawangan Sandakan telah menjalankan pemeriksaan ke atas kedai yang dilaporkan itu semalam.

“Hasil pemeriksaan mendapati bahawa pemilik kedai berkenaan telah gagal meletakkan tanda harga ke atas 30 unit makanan ringan pelbagai perisa yang dipamerkan untuk jualan di premis perniagaannya.

“Satu tindakan kes di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011 telah diambil ke atas pemilik kedai terbabit,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, semua 30 unit makanan ringan pelbagai perisa yang tidak diletakan tanda harga itu telah disita untuk tindakan siasatan selanjutnya.

“Pemilik kedai yang didapati gagal melakukan kesalahan itu boleh kenakan denda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM25,000.

“Manakala bagi syarikat yang melakukan kesalahan berkenaan boleh didenda sehingga RM100,000 atau dikompaun sehingga RM50,000,” katanya.

Azdy berkata, KPDN cawangan Sandakan juga telah menasihatkan pemilik premis berkenaan supaya memberikan makluman atau notis jelas di tempat yang mudah dilihat terhadap kemudahan disediakan.

“KPDN Cawangan Sandakan sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat dan aduan berkaitan salah laku peniaga di daerah ini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement