Anda di sini

Pameran seni mendiang ibu ibarat impian menjadi kenyataan: Chong

Advertisement
Chong bergambar bersama sebahagian daripada lukisan yang dipamerkan di Galeri Hoan.
Chong bergambar bersama sebahagian daripada lukisan yang dipamerkan di Galeri Hoan.

KOTA SAMARAHAN: Para pelajar kepada mendiang Pengasas Sarawak Fine Arts School, Chong Liew Syn bergabung untuk mempamerkan karya terbaik guru seni mereka di Galeri Hoan di La Promenade Mall di sini, bermula malam Jumaat.

Menurut anak sulung beliau Chong Ken Loh, ia umpama sebuah impian menjadi kenyataan.

"Saya hanya meneruskan perniagaan ayah dengan menjual herba dan ubatan tradisional masyarakat Cina sehingga ke hari ini, tidak pernah terlintas di fikiran untuk membuat pameran hasil lukisan ibu saya.

"Sehinggakan pada suatu hari, saya disapa oleh Pengarah Galeri Hoan, Hoan Kee Huang, untuk mengadakan pameran seni mendiang ibu saya," ujarnya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Pertunjukan Seni oleh mendiang ibunya malam Jumaat yang turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Pameran selama lapan minggu bertajuk 'Hidden Gems: The Life Works of Chong Liew Syn' itu mempamerkan sebanyak 60 buah daripada lebih 300 lukisan hebat mendiang Chong.

Mendiang Chong yang meninggal dunia pada 1999 pada usia 50 tahun telah menubuhkan sekolah seni pertama yang mendapat akreditasi kerajaan Sarawak berpangkalan di Padungan, Kuching.

Dr Sim (tengah) melihat lukisan bekas guru beliau, mendiang Chong Liew Syn bersama Hoan (kanan), Chong (belakang kanan) dan Yuji (kiri belakang).
Dr Sim (tengah) melihat lukisan bekas guru beliau, mendiang Chong Liew Syn bersama Hoan (kanan), Chong (belakang kanan) dan Yuji (kiri belakang).

Beliau menghasilkan ramai tokoh dalam senario seni di Sarawak hari ini, selain beberapa individu yang sangat penting dalam pelbagai bidang dari politik sehinggalah penyelidikan saintifik.

Sementara itu, Hoan dalam satu kenyataan menyifatkan pameran itu sebagai satu majlis yang signifikan serta meninggalkan memori indah buat bekas pelajar mendiang.

"Galeri kami, dengan bantuan Hock Seng Lee (HSL), sudah mengusahakan pameran untuk mendiang Chong hampir sedekad yang lalu. 

"Anak beliau, Chong Ken Loh telah membuka arkib keluarga dan memberikan keistimewaan kepada kami untuk meninjau karya-karya penting yang tidak pernah dilihat sebelum ini. 

"Kami juga telah menemui permata asli yang bersejarah dan signifikan bagi senario kesenian di Sarawak," katanya.

Menurutnya lagi, kesemua hasil lukisan mendiang dari zaman 60-an hingga 90-an merangkumi koleksi lukisan kariernya bermula dengan lukisan cat air, lukisan minyak dan akrilik.

Turut dijumpai di studio mendiang yang juga dipamerkan di sini adalah alat pembelajaran, dulang cat lama, berus lukisan dan memorabilia lama seperti risalah pameran lukisan pelajar beberapa dekad lalu.

Antara lukisan menarik mendiang Chong yang dipamerkan.
Antara lukisan menarik mendiang Chong yang dipamerkan.

Dr Sim juga merupakan bekas anak murid mendiang dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3  di sini sebelum meneruskan pengajian diluar negara.

Kebanyakan lukisan pada pameran itu untuk dijual dengan harga antara RM3,000 hingga lebih RM10,000, bergantung kepada medium, saiz dan usianya.

Turut hadir pada pembukaan pameran seni itu adalah wakil Pengarah Hock Seng Lee (HSL) Realty Sdn Bhd Yu Ji.

Antara lukisan menarik mendiang Chong yang dipamerkan.
Antara lukisan menarik mendiang Chong yang dipamerkan.
Advertisement