Anda di sini

Hamdan Senario meninggal dunia

Advertisement
 

JOHOR BAHRU: Anggota kumpulan Senario Hamdan Ramli atau nama sebenar Ahmad Hamdan Mohamed Ramli (gambar), 54, meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, kira-kira 12.50 tengah hari tadi.

Pemergian Allahyarham disahkan anggota kumpulan berkenaan, Azlee Jaafar.

"Betul, Hamdan sudah meninggal dunia kira-kira 12.50 tengah hari tadi. Dia sudah tiada. Jenazah dan keluarga masih berada di HSA… proses di hospital dijangka selesai pada 3 petang. 

"Kemudian jenazah akan dibawa ke Ipoh, Perak untuk dikebumikan. Semoga segala urusan Allahyarham dan keluarga dipermudah. Salam takziah," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Allahyarham meninggalkan isteri Norhamalini Ahmed, 53, serta empat orang anak Muhamad Zeyreen Misha, 31, Muhamad Nazreen Aiman, 28, Muhamad Syazreen Haqem, 25, dan Nur Natasya Umairah, 21.

Pada 1 Januari lepas, kumpulan Senario dilaporkan memohon peminat agar mendoakan kesembuhan rakan mereka, Hamdan yang telah ditidurkan di HSA selepas didapati mengalami komplikasi buah pinggang.

Hamdan bersama anggota kumpulan Senario sepatutnya mengadakan persembahan “Wonderful Night with Senariounion” di sebuah hotel di sini sempena sambutan Tahun Baharu pada 31 Disember lepas, namun persembahan itu terpaksa diteruskan tanpa kehadiran Allahyarham.

Senario merupakan kumpulan pelawak komedi sketsa yang popular sejak 1996 hingga kini.- BERNAMA
 

Advertisement