Anda di sini

Pemilihan Tuaran sebagai lokasi tambahan LTAKK punyai banyak kelebihan: Foo

Advertisement
FOO
FOO

KOTA KINABALU: Pemilihan Tuaran sebagai lokasi tambahan bagi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) mempunyai banyak kelebihan.

Presiden Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana (SME) Sabah, Prof Datuk Foo Ngee Kee berkata, pihaknya mengalu-alukan cadangan pembinaan terminal tambahan yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Majlis Pecah Tanah Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di Kampung Kungkular di Tenom kelmarin.

Katanya, terminal tambahan itu akan membantu memenuhi peningkatan ketibaan pelancong pada masa akan datang berikutan lapangan terbang yang ada kini dilihat tidak mampu menampung pelancong untuk jangka panjang di Sabah.

“Lokasi LTAKK yang berhampiran dengan pusat bandar sentiasa menjadi isu keselamatan dan serta gangguan bunyi selain faktor bangunan tinggi yang menjejaskan laluan penerbangan.

“Walaupun LTAKK kini dilihat mampu menampung peningkatan semasa kedatangan pelancong, tetapi dalam jangka masa panjang Sabah memerlukan lapangan terbang antarabangsa yang lebih besar dan lebih baik.

“Lapangan terbang baharu yang ditempatkan di Tuaran amat bersesuaian disebabkan faktor lokasi dan pantai yang berpotensi untuk membangunkan sektor pelancongan negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, persaingan untuk sektor pelancongan dalam kalangan negara ASEAN adalah sengit dan lapangan terbang antarabangsa yang lebih baik yang terletak di Tuaran boleh menjadi kelebihan bagi industri pelancongan Sabah.

Katanya, seiring pengumuman kemasukan percuma visa ke China, India, dan beberapa negara Timur Tengah, ketibaan pelancong ke sini dijangka akan melonjak secara drastik mulai Disember 2023 seterusnya pada tahun berikutnya.

“Selain itu, Ibu Kota Indonesia baharu iaitu Nusantara di Kalimantan akan terus menyokong Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) sebagai hab Kawasan Pertumbuhan Asia Timur Filipina Brunei Indonesia Malaysia (BIMP-EAGA) disebabkan lokasi strategik Kota Kinabalu,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan laporan media baru-baru ini, Qhazanah Sabah Bhd menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk LTAKK baharu berada di Kimanis. 

“Dalam laporan media lain pada 10 Januari 2021, Ketua UMNO Tuaran yang juga bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Abdul Rahman mencadangkan Tuaran sebagai lokasi yang lebih baik untuk LTAKK baharu kerana pembangunan di pantai barat Sabah menghala ke utara. 

“Pada masa sama, ini juga mampu mempromosikan Tuaran sebagai hab pelancongan, serta meningkatkan ekonomi penduduk tempatan ke arah taraf hidup yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau juga berpendapat bahawa pembinaan LTAKK baharu di Tuaran lebih bertepatan berikutan ada beberapa hotel serta pusat peranginan bertaraf antarabangsa di Tuaran seperti Hotel Rasa Ria Shangri-la, Nexus Hotel, Karambunai, Mimpian Jadi Resort Hotel dan Mantanani Island Resort.

“Dengan adanya LTAKK baharu di Tuaran, lebih banyak lagi hotel bertaraf antarabangsa seperti ini akan dibina di sepanjang pantai berpasir putih di bahagian utara Tuaran sehingga ke Kudat yang terkenal dengan tarikan lautan semula jadi yang indah.

“Penduduk yang tinggal di sekitar Tuaran, Kota Belud dan Kudat juga berpeluang mendapat peluang pekerjaan baharu apabila hotel bertaraf antarabangsa ini dibina, seterusnya mengurangkan bilangan penduduk yang tinggal di kawasan berkenaan keluar bekerja di Kota Kinabalu dan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas antara Tuaran dan Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata, penambahan bilik baharu daripada hotel ini juga akan membantu mengurangkan isu kekurangan tiga sehingga empat ribu bilik hotel bertaraf antarabangsa dan menyokong pertumbuhan pelancongan di Sabah.

“Taman Perindustrian (IP) seluas 10,000 ekar yang baharu akan dibina di Kota Belud tidak lama lagi dan LTAKK baharu di Tuaran juga akan berada pada kedudukan yang strategik dalam memberi perkhidmatan kepada pihak yang berurusan dengan perusahaan ini di IP Kota Belud.

“Terdapat beberapa pelabur antarabangsa berminat untuk melaksanakan pembangunan LTAKK baharu dengan Inisiatif Kewangan Swasta (PFI) dan pembiayaan untuk pembinaan KKIA baharu boleh melalui PFI,” katanya.

Tambahnya, SME Sabah berharap agar kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dapat mempertimbangkan cadangan ini untuk membina LTAKK baharu di Tuaran untuk manfaat jangka panjang Sabah.

  • oleh
  • Advertisement