Anda di sini

Tun Taib belum buat representasi kepada SAGC sebegai defendan ketiga kes saman terhadap Ragad

Advertisement
Yong dan Azlina serta Chong (gambar kanan) semasa berada di hadapan kamar Mahkamah Tinggi pada Rabu. 
Yong dan Azlina serta Chong (gambar kanan) semasa berada di hadapan kamar Mahkamah Tinggi pada Rabu. 

KUCHING: Mahkamah Tinggi pada Rabu diberitahu bahawa Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud belum membuat representasi kepada Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak (SAGC) sebagai defendan ketiga membabitkan kes saman sivil difailkan anaknya terhadap Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib. 

Peguam mewakili Ragad, Alvin Yong memaklumkan mahkamah yang perwakilan masih belum dibuat, justeru beliau memohon diberikan tarikh lain bagi mendengarkan perkara itu.

"Sekiranya representasi dibuat, kami berjanji akan memaklumkan SAGC mengenai tarikh pendengaran dan membiarkan SAGC memutuskan sama ada mereka mahu hadir atau tidak," kata Yong.

Pada 9 November 2023, anak-anak Tun Taib, Dato Sri Sulaiman Abdul Rahman Taib dan Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib telah memfailkan permohonan di mahkamah yang mencadangkan bapa mereka menjadi defendan ketiga dalam kes sivil tersebut.

Sementara itu di prosiding sama, seorang lagi peguam yang mewakili Ragad iaitu Azlina Dahlan, telah membuat pendirian berdasarkan arahan anak guamnya (Ragad) agar tidak menarik diri daripada kes tersebut.

Ia antara lainnya berdasarkan alasan bahawa tiada bantahan dibangkitkan oleh plaintif sebelum ini.

Ragad disaman oleh anak tirinya Sulaiman dan Bekir (plaintif) yang memohon injunksi mahkamah untuk menghentikan pemindahan saham daripada syarikat kepada Ragad.

Mereka menamakan Ragad sebagai defendan pertama dan RHB Investment Bank Berhad sebagai defendan kedua dalam kes itu.

Selain Yong dan Azlina, Ragad turut diwakili oleh Shirleen Ong sementara defendan kedua diwakili peguam Tan Kee Heng dan Lesley Lynn Ling.

Sulaiman dan Bekir diwakili peguam Alvin Chong dan Jonathan Tay.

Kes yang didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew itu bakal disebut semula pada 19 Februari 2024.

  • oleh
  • Advertisement