Anda di sini

Penduduk luar bandar dinasihat bersabar menanti pelaksanaan projek kerajaan

Advertisement
 Jusiana (empat kiri) menyampaikan cendera kenangan kepada Jonathan.
PENGHARGAAN: Jusiana (empat kiri) menyampaikan cendera kenangan kepada Jonathan.

RANAU: Penduduk luar bandar diminta agar bersabar dalam menanti pelaksanaan projek yang diperlukan di kawasan masing-masing.

Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata, memandangkan peruntukan kewangan  untuk parlimen adalah terhad maka projek mendesak akan diberi keutamaan terlebih dahulu manakala projek lain akan dilaksana kemudian.

“Peruntukan kewangan yang disalurkan oleh kerajaan pusat sudah diagihkan mengikut keperluan mendesak di kawasan Ranau, projek lain akan diusahakan untuk dilaksana tahun hadapan.

“Penduduk diminta bersabar dan projek terbabit akan dilaksana apabila tiba waktu sesuai,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Balai Raya Kampung Kieyip yang terletak kira-kira 65 kilometer dari sini.

Menurutnya, masih banyak projek infra yang perlu dilaksanakan di kawasan luar bandar namun terpaksa ditangguhkan terlebih dahulu disebabkan peruntukan kewangan tidak mencukupi dan akan dibawa ke tahun hadapan.

“Kos pembelian 50 buah kerusi seperti yang diminta untuk balai raya kampung ini akan dibawa pada tahun hadapan.

“Sumbangan peribadi sebanyak RM500 daripada saya juga sudah disalur untuk membiayai keperluan sempena sambutan Hari Krismas yang akan berlangsung tidak lama lagi,” katanya.

Turut hadir Ketua Kampung Kieyip, Kunut Yulias.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan  dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Keiyip, Jusiana Ekang dalam ucapan aluannya menghargai usaha Jonathan yang banyak menolong golongan memerlukan termasuk membantu membiayai kos perubatan anaknya yang memerlukan pembedahan di hospital disebabkan patah di kedua-dua belah tangan.

“Dengan adanya bantuan ini dapat meringankan beban kewangan keluarga, selain itu beliau juga amat prihatin membantu pihak tidak berkemampuan dengan membina rumah kediaman yang lebih selesa khususnya kepada warga emas,” katanya.

Jusiana seterusnya mewakili penduduk Kampung Kieyip mengemukakan permohonan kepada kerajaan untuk menyediakan peruntukan kewangan bagi menaiktaraf jalan menuju bangunan gereja dan ke kawasan tanah perkuburan kampung terbabit berikutan laluan itu adalah keperluan bagi penduduk di sana.

Kampung Kieyip kini mempunyai 37 buah rumah dengan bilangan penduduk seramai 225 orang yang sebahagian besar mengusahakan tanah pertanian sebagai sumber pendapatan utama.

  • oleh
  • Advertisement