Anda di sini

Naik taraf Klinik Kesihatan Nabawan ke status hospital: Bobbey

Advertisement
BOBBEY
BOBBEY

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan digesa menaiktaraf Klinik Kesihatan Daerah Nabawan ke status hospital daerah.

Ahli Dewan Rakyat (Senator) Datuk Bobbey Suan berkata, justifikasi penaiktarafan itu dalam aspek kesihatan dan perubatan rakyat, ia amat mendesak serta harus diberi perhatian serius.

 Katanya, dari aspek sosial, penaiktarafan itu sesuai dengan status Nabawan sebagai daerah penuh dan mempunyai daerah kecil Pegalungan yang terletak dengan sempadan Kalimantan Indonesia.

“Badan dan agensi kerajaan yang lain juga bakal diwujudkan seperti pembinaan balai polis baharu, pos Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS).

Penaiktarafan jalan raya dari Pagalungan ke Pensiangan, sudah pasti turut meningkatkan populasi dan pesakit di daerah ini,” katanya.

Selain itu, katanya, kepesatan pembangunan dan kerancakan aktiviti ekonomi yang bersempadanan dengan ibu kota baharu Indonesia, Nusantara turut mempengaruhi pembangunan di daerah ini.

Bobbey berkata, dengan adanya hospital daerah ini, penduduk di Parlimen Pensiangan dan kawasan berdekatan berpeluang mendapat fasiliti kesihatan yang lengkap.

“Mereka tidak perlu lagi melalui perjalanan yang jauh ke Hospital Daerah Keningau atau Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu untuk menerima rawatan susulan.

“Ia juga dapat mengurangkan bebanan kos perbelanjaan pesakit di daerah ini terutamaya mereka yang tidak berkemampuan,” katanya.     

Bobbey berkata demikian ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Persidangan Dewan Negara di Dewan Negara pada Rabu.

Katanya, kerajaan Pusat wajib mematuhi dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kerana ia bukan lagi setakat dokumen perjanjian, tetapi sebahagian daripada Perlembagaan Malaysia.

Beliau berkata ia penting supaya rakyat Sabah dan Sarawak melihatnya sebagai satu keikhlasan, bukannya kegagalan.

Bobbey turut menyambut baik pemberian khas baharu dibawah Perkara 112D yang dinaikkan sehingga RM300 juta bermula tahun ini.

Namun katanya, beberapa perkara harus dilaksanakan supaya Wilayah Sabah dan Persekutuan mendapat situasi yang menang-menang.

“Antaranya ialah memasukkan perkataan ‘pemberian interim’ di dalam warta yang boleh dipinda bila-bila masa.

“Pemberian khas perlu dinaikkan sekurang-sekurang RM1 Bilion sementara menunggu formula 40 peratus seperti termaktub dalam artikel 112C Perlembangaan Persekutuan dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Beliau juga meminta kerajaan Persekutuan menyatakan berapa jumlah hasil daripada dua per lima (2/5) yang belum terbayar kepada Sabah sejak tahun 1963.

“Kami di Sabah hanya menuntut hak mengikut perlembagaan. Sabah setia, menghormati kerajaan Pusat dan patuh kepada perlembagaan negara ini,” katanya.

Menyentuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), beliau memohon supaya inisiatif yang diberikan turut melibatkan institusi berkenaan di Sabah dan Sarawak.

Katanya, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta yang terlibat juga perlu menawarkan pekerjaan kepada para belia di Sabah dan Sarawak.

“Ketika ini, wujud kelompongan dan ketidakseimbangan dari segi perlaksanaan TVET di Sabah kerana negeri ini mempunyai populasi seramai 3.59 juta orang.

“Di Sabah hanya terdapat satu Kolej Vokasional Pendidikan Khas sahaja diwujudkan jauh di Bahagian Pedalaman iaitu di daerah Keningau,” katanya.

Menyentuh Program ‘Community Drumming’ pula, Bobbey meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Rakyat menjelaskan dan memperincikan modus operandi program ini di Sabah serta kadar keberhasilan program itu yang telah dilaksanakan di Semenanjung.

  • oleh
  • Advertisement