Anda di sini

Kes tular MJC, enam remaja lelaki dihantar ke Sekolah Henry Gurney

Advertisement
 

KUCHING: Mahkamah Majistret hari ini memerintahkan enam remaja lelaki yang mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 51 tahun tanpa niat, dalam satu kes tular di sebuah hotel di Batu Kawa di sini pada 30 Oktober lalu, dihantar ke Sekolah Henry Gurney.

Majistret Mason Jaro Lenya Barayan mengarahkan empat pesalah kanak-kanak berusia antara 15 hingga 17 tahun untuk menjalani hukuman itu sehingga mereka berusia 21 tahun.

Sementara Majistret Zubaidah Sharkawi memerintahkan dua pesalah muda masing-masing berusia 18 tahun untuk dihantar ke sekolah itu selama tiga tahun. 

Keputusan tersebut dibuat setelah meneliti fakta dan keterangan kes, selain mendengar laporan akhlak serta laporan sosial yang dikemukakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini.

Kesemua remaja tersebut mengaku bersalah di Mahkamah Majistret pada 10 November 2023 apabila didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama melakukan kesalahan itu pada 30 Oktober 2023 antara jam 12.30 tengah malam hingga 1 pagi di tangga sebuah hotel di MJC Batu Kawa di sini. 

Fakta kes mendedahkan mangsa telah dipukul oleh beberapa orang lelaki pada hari kejadian.

Mangsa seterusnya mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan, sebelum disahkan meninggal dunia pada 1 November 2023. 

Laporan polis dibuat sehingga membawa kepada penangkapan kesemua tertuduh secara berperingkat antara 31 Oktober hingga 2 November 2023. 

Kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Setakat ini, sejumlah 11 individu (termasuk enam pesalah muda) telah dihadapkan ke mahkamah terbabit kes ini. 

Hartley Tuntun Jerah, 33, yang disabitkan mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian mangsa tanpa niat, telah dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada 16 November 2023. 

Sementara Ayu Abdullah, 25, yang didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan iaitu bersubahat dengan suaminya, Ashley Austin Chin, 25, kerana menyebabkan kematian mangsa, dijatuhi hukuman penjara lima tahun, juga pada 16 November 2023. 

Selain itu, Ashley (suami Ayu) dan Albert Chin Quan Yan, 22, masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Majistret pada 10 November 2023, selepas mengaku bersalah apabila didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan. 

  • oleh
  • Advertisement