Anda di sini

Alumni UPKO himpunkan mantan pemimpin, bantu Ewon perkukuh parti

Advertisement
 Ewon merakamkan gambar kenangan bersama semasa sambutan pra-Krismas Alumni UPKO  yang diadakan julung kali di sini semalam.
SEMANGAT: Ewon merakamkan gambar kenangan bersama semasa sambutan pra-Krismas Alumni UPKO yang diadakan julung kali di sini semalam.

PENAMPANG: Pendekatan kepimpinan Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick mendapat suntikan baharu melalui kehadiran pemimpin pengasas parti dalam sambutan pra-Krismas Alumni UPKO  yang diadakan julung kali di sini semalam.

Ewon berkata sebaik menjadi Presiden UPKO, beliau mengalu-alukan mantan pemimpin dan ahli parti untuk kembali menyertai parti atau membantunya dalam agenda pembangunan negara.

“Pada 1999, apabila UPKO dilancarkan di Ranau selepas penukaran nama daripada Parti Demokratik Sabah (PDS), saya juga hadir di dewan pelancaran berkenaan. 

“Selepas 24 tahun, saya gembira kerana banyak pemimpin pengasas UPKO yang saya lihat di dewan itu hadir pada malam ini dan saya berbangga dapat berjumpa mereka di sini.

“Sudah tentu dalam tempoh ini, parti UPKO matang melalui pelbagai pengalaman, apa sahaja faktor yang menyebabkan perbezaan kita dalam beberapa tempoh selama ini pastinya menjadi kekuatan baharu kepada parti ini selagi kita terbuka untuk saling melengkapi,” katanya.

Ewon berkata demikian semasa berucap pada sambutan yang dihoskan oleh Presiden pengasas parti, Tan Sri Bernard Dompok.

Antara yang hadir ialah mantan Timbalan Presiden UPKO Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing, mantan Ahli Parlimen Putatan Datuk Marcus Mojigoh, mantan Ahli Dewan Negara Datuk Christine Vanhouten, mantan ADUN Labuk Datuk Tan Yong Gee, mantan ADUN Petagas Datuk James Ligunjang, mantan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Douglas Primus serta mantan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi UPKO Petrus Guriting, Lightson Kohiya, Monih Epin, Muji Ampau dan Cheong Kwee Min. 

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi juga mengalu-alukan sebarang teguran, kritikan dan cadangan daripada ahli dan mantan ahli parti untuk digunakan sebagai input ke dalam mesyuarat pimpinan kerajaan. 

“Pada saya, siapakah lagi yang memahami UPKO dan berhak untuk memperkasa parti ini melainkan daripada ahli-ahlinya atau yang terbabit di dalam parti ini.

“Kehadiran Timbalan Presiden Pengasas UPKO Datuk Wilfred Bumburing dan pemimpin terdahulu bukan lagi alumni, sebaliknya kita sudah kembali bersama dalam keluarga besar parti UPKO. 

“Saya akan terus dipandu oleh pemimpin UPKO terdahulu untuk memperkukuh dan memperkasakan lagi parti ini,” katanya.

Beliau juga akan mengadakan satu perbincangan meja bulat berhubung dengan mekanisme pembayaran semula hasil persekutuan di Sabah kepada kerajaan negeri Sabah.

“Pemberian semula 40 peratus hasil persekutuan di Sabah adalah tuntutan besar rakyat Sabah dan saya ingin menjelaskan bahawa kerajaan persekutuan sudah menetapkan tempoh masa satu tahun bermula Julai 2023 hingga Julai 2024 untuk menetapkan mekanisme pembayaran semula hasil persekutuan ini. 

“RM300 juta yang disalurkan kepada kerajaan Sabah baru-baru ini hanyalah pembayaran interim sementara menunggu keputusan penuh mekanisme yang dipersetujui bersama kerajaan persekutuan dengan kerajaan Sabah.

“Sebagai Ahli Jawatankuasa Teknikal Majlis Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963, saya akan menganjurkan perbincangan meja bulat hujung bulan ini supaya saya boleh membawa input hasil perbincangan kepada mesyuarat jawatankuasa ini yang akan diadakan pada bulan depan,” katanya.

Beliau juga mengalu-alukan sumbangan daripada Bumburing, rakan pimpinan dan juga golongan profesional ke perbincangan berkenaan.

Ewon berkata dia lebih cenderung untuk memberi sumbangan nilai dan makna kepada tempoh masa yang ditetapkan.

“Ramai yang mempertikai keputusan saya dan rakan-rakan menarik semula Saman Pemula (OS) terkait ini sedangkan mereka tidak memahami serta mengambil kira keputusan semasa kerajaan. 

“Mereka lupa bahawa Mahkamah sudah memberikan kebenaran dan kebebasan kepada kami untuk memfailkan saman pemula itu.

“Saya cenderung mencadangkan mekanisme bagaimana pembayaran itu boleh dilaksanakan,” katanya.

Beliau juga memberi soalan adakah Sabah bersetuju mengurangkan penerimaan peruntukkan pembangunan supaya pembayaran khas berdasarkan 40 peratus itu boleh dilaksanakan. 

“Kita juga perlu mengasingkan perundingan bagi hasil yang dikutip secara langsung oleh pejabat hasil di Sabah dengan hasil yang dikutip melalui pejabat di Kuala Lumpur.

“Saya dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali sudah melakukan yang terbaik untuk membawa perkara ini dalam Mesyuarat Kabinet. 

“Apa yang kita harus tumpukan adalah mekanisme pembayaran semula hasil dan saya mahu mengelak perbincangan polemik, sebaliknya mahu menyumbang kepada proses perundingan terbabit dengan cadangan mekanisme yang praktikal,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement