Anda di sini

Tembak bukan penyelesaian, laksana kerjasama kawal populasi buaya Sabah

Advertisement
Gambar fail BERNAMA
Gambar fail BERNAMA

KOTA KINABALU: Langkah menangkap atau menembak mati buaya dilihat bukanlah penyelesaian tuntas apabila terjadinya konflik manusia dengan reptilia itu, kerana siri serangan haiwan ganas berkenaan masih berlaku terutama terhadap penduduk yang tinggal di kawasan habitat buaya.

Justeru, Taman Buaya Tuaran dekat sini membuka pintu kerjasama kepada mana-mana institusi awam mahupun swasta untuk melaksanakan penyelidikan bagi mengenal pasti cara terbaik mengawal populasi buaya dan mencari langkah berkesan mendepani konflik haiwan dan manusia itu.

Pengurusnya Engalbert Awing, 43, berkata pembangunan pusat konservasi buaya di negeri ini antara langkah terbaik bagi mengatasi isu berkenaan kerana selain berperanan mengawal populasi, pusat seperti itu juga mampu memainkan peranan mengkomersialkan haiwan terbabit.

Beliau berkata buaya di Sabah berpotensi menjadi daya tarikan pelancongan dan juga dikomersialkan dalam industri pembuatan bagi mengawal populasi haiwan itu antaranya hasil daripada kulit haiwan itu, manakala daging buaya dipercayai boleh dijadikan ubat, namun semua ini perlu dilakukan secara terkawal dengan seliaan pihak berwajib.

“Saya bekerja sebagai pengurus di Taman Buaya ini sejak 2018 dan pengalaman ini memberikan satu persepsi kepada saya bahawa menembak mati haiwan ini sahaja tanpa tindakan lanjut bukan langkah terbaik menghentikan serangan buaya kepada manusia.

“Sebaliknya, kajian perlu dibuat untuk kita kenal pasti sebab serangan seperti itu berlaku, seterusnya ambil langkah untuk pastikan ia tidak berulang. Selepas itu, kita boleh cari jalan jadikan buaya sebagai sumber pendapatan terutama untuk meningkatkan sosiekonomi penduduk,” katanya kepada BERNAMA.

Berkongsi pengalamannya mengendalikan buaya di taman itu dianggarkan 2,000 ekor sejak dibuka pada 2005, Engalbert berkata buaya memang sukar dijinakkan walaupun dijaga sebaik sahaja haiwan itu menetas. 

"Kalau dari hari pertama anak buaya yang menetas itu sudah mempunyai naluri untuk menyerang dan mengigit, ia tidak akan jinak sampailah jadi buaya dewasa, apatah lagi yang membesar di habitat asalnya," katanya dan menambah buaya mampu melompat setinggi empat meter dan lebih agresif apabila berada di dalam air.

Engalbert berkata taman buaya berasaskan pelancongan serta pusat maklumat itu memiliki buaya paling tua berumur 80 tahun berukuran panjang 5.18 meter dengan berat 1.3 tan, sementara penjagaan buaya dewasa tidak sukar kerana hanya makan dua atau tiga kali seminggu berbeza dengan anak buaya baru menetas yang memerlukan penjagaan rapi.

"Buaya yang lapar biasanya lebih agresif dan diberi makan kira-kira enam ekor ayam mampu bertahan seminggu hingga sebulan sekiranya tidak ada sumber makanan yang cukup," katanya menambah bahawa buaya betina akan mengeluarkan 35 hingga 45 biji telur apabila tiba musim bertelur bermula Januari hingga Julai.
 
Sementara itu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga berkata sejak 2019 hingga kini sebanyak 117 ekor buaya telah ditembak mati di negeri ini dengan daerah Lahad Datu merekodkan 52 ekor diikuti Sandakan (28 ekor), Kinabatangan (tujuh ekor), Tawau (11 ekor) dan Pantai Barat (19 ekor).

Beliau berkata dalam tempoh sama, jumlah buaya yang mati di Lahad Datu adalah sebanyak 14 ekor, Sandakan (tiga ekor), Kinabatangan (sembilan ekor), Tawau (11 ekor) dan Pantai Barat (lima ekor), manakala yang ditangkap membabitkan lima ekor di Lahad Datu, 21 ekor di Tawau dan seekor di Pantai Barat.

Augustine berkata berdasarkan tinjauan yang dijalankan selama tiga tahun bermula 2017 hingga 2019, sebanyak 2,886 ekor buaya mendiami sungai-sungai di Sabah dan daripada jumlah itu, sebanyak 1,386 ekor didapati di Sungai Kinabatangan.

“Kebanyakan reptilia yang mendiami sungai berkenaan adalah daripada spesies crocodylus porosus atau lebih dikenali dengan nama tempatan sebagai buaya tembaga,” katanya.

Mengikut laporan media, pada tahun ini sahaja berlaku beberapa serangan reptilia itu antaranya di Tawau iaitu mayat warga emas Addi Bangsa, 60, ditemukan di dalam perut seekor buaya lebih 800 kilogram dipercayai membaham mangsa ketika hendak turun ke bot untuk menangkap ikan kira-kira pukul 4 pagi pada 23 Julai lepas.

Pada 24 Okt, kejadian di Ladang Maisang Sime Darby Sukau, Kinabatangan melibatkan mayat seorang lelaki dipercayai dibaham buaya yang dijumpai kira-kira 500 meter dari kawasan mangsa dilaporkan hilang ketika sedang mencuci pakaian dan mandi di tebing Sungai Kinabatangan. 

Seorang lelaki Yusri Dulpi, 20, hilang selepas disambar buaya dalam kejadian di jeti Mantanani, Kota Belud kira-kira 10.30 malam, 23 Sept ketika mangsa bersama rakannya memancing di jeti berkenaan sebelum disambar reptilia itu. - BERNAMA

Advertisement